fbpx
Di bawah BAeK PTPTN, pinjaman diberikan dalam bentuk biasiswa kepada pelajar miskin. – Gambar hiasan

BAeK PTPTN beri sinar baharu pelajar kurang berkemampuan kejar impian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Peluang melan­jutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi kini bukan lagi sekadar impian buat pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan apabila pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasio­nal (PTPTN) ditukar kepada biasiswa menerusi inisiatif Biasiswa Anak eKasih (BAeK) PTPTN.

Inisiatif yang diperkenalkan kerajaan itu nyata melegakan pe­nerima apabila mereka tidak lagi perlu memikirkan beban kewa­ngan sepanjang tempoh pengajian, sekali gus membolehkan mereka memberi tumpuan sepenuhnya kepada akademik.

Menurut seorang penerima BAeK PTPTN, Nor Abyan Amirah Rosli, 21, berkata, dia bersyukur dan terharu apabila ditawarkan biasiswa tersebut kerana ia bukan sahaja meringankan beban keluarga, malah menjadi pembakar sema­ngat untuk terus cemerlang.

Malah katanya, dia juga berasa lega kerana bantuan itu sedikit sebanyak dapat membantunya dan keluarga dalam menguruskan ke­perluan sepanjang tempoh pengajian.

“Biasiswa BAeK PTPTN memberikan impak yang sangat positif kepada pelajar kerana ia bukan sahaja membantu dari segi kewangan, tetapi juga memberi keyakinan dan motivasi kepada pelajar untuk terus mencapai kejayaan.

“Dengan adanya sokongan se­perti ini, pelajar dapat lebih fokus terhadap pengajian dan meningkatkan prestasi akademik.

Nor Abyan Amirah

“Dalam jangka masa panjang, ia dapat membantu membentuk generasi graduan yang lebih berkualiti, berkemahiran dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan,” kata pelajar tahun pertama Sarjana Muda Sains Pengurusan Seni Kulinari (Kepujian) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor itu.

Nor Abyan Amirah membe­ritahu, secara keseluruhan jumlah biasiswa yang diterimanya adalah berjumlah RM18,540.

Bagi seorang lagi penerima BAeK PTPTN, Harini a/p Siva, 19, menyifatkan biasiswa itu menunjukkan keprihatinan PTPTN dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam membantu pelajar mengejar cita-cita tanpa dibebani masalah kewangan.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada KPT dan PTPTN atas keprihatinan serta peluang yang diberikan melalui Biasiswa BAeK PTPTN ini.

“Bantuan ini amat bermakna buat saya dan menjadi pemangkin untuk saya belajar dengan lebih bersungguh-sungguh.

Harini

“Saya berharap dapat membalas kepercayaan ini dengan mencapai kejayaan dalam pengajian serta menjadi insan yang dapat menyum­bang kepada keluarga pada masa hadapan,” katanya sambil memberitahu jumlah biasiswa yang diterimanya adalah sebanyak RM14,381.52.

Kata pelajar Diploma Perniagaan Antarabangsa Politeknik Melaka itu lagi, dengan pemberian BAeK PTPTN dia menjadi lebih bersemangat untuk meneruskan pengajian dan berusaha mencapai kejayaan yang cemerlang.

Terdahulu, PTPTN dalam satu kenyataan memaklumkan, pelaksanaan BAeK PTPTN selaras aspirasi kerajaan memastikan tiada pelajar yang layak tercicir daripada melanjutkan pengajian ke Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) akibat keka­ngan kewangan.

Belanjawan 2026 mengumumkan inisiatif biasiswa/pendidikan percuma PTPTN untuk 5,800 anak-anak keluarga miskin yang mengikuti pengajian di Institusi Pengajian Tinggi Awam dengan peruntukan RM120 juta setahun.

Semasa pelancaran Ranca­ngan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026-2035, jumlah pe­nerima ditingkatkan kepada 10,000 orang pelajar.

Di bawah BAeK PTPTN, pinjaman diberikan dalam bentuk biasiswa kepada pelajar miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih serta mengikuti pe­ngajian diploma atau ijazah sarjana muda sepenuh masa di IPTA bermula 1 Januari lalu.

Penerima yang layak akan me­nerima biasiswa sebanyak RM4,750 setahun bagi peringkat diploma, RM6,180 setahun bagi Ijazah Sarjana Muda (Sastera) dan RM6,650 setahun bagi Ijazah Sarjana Muda (Sains).

Inisiatif itu membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan faktor sosio ekonomi tidak lagi menjadi penghalang kepada anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan untuk mengejar cita-cita di menara gading.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN