PETALING JAYA – Aliran trafik di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuh Raya Pantai Timur 1 (LPT1) dijangka berada pada tahap kritikal bermula 23 hingga 25 Mei ini sempena sambutan Hari Raya Aidiladha.
Syarikat konsesi lebuh raya KLK dan LPT, AFA PRIME Berhad (AFA PRIME) berkata, peningkatan mendadak jumlah kenderaan dijangka berlaku terutama di Plaza Tol Gombak, Bentong dan Karak yang menjadi laluan utama ke Pantai Timur.
Sehubungan itu, syarikat konsesi lebuh raya berkenaan mengaktifkan strategi pengurusan trafik menyeluruh termasuk pelaksanaan Cadangan Waktu Perjalanan (TTA) bagi melancarkan aliran trafik sepanjang tempoh perayaan.
Menurut kenyataan AFA PRIME, pengguna dari Kuala Lumpur dan Selangor yang menuju ke Pahang pada 23, 24 dan 26 Mei disaran memasuki lebuh raya antara pukul 10 pagi hingga 2 petang atau 4 petang hingga 6 petang.
“Bagi perjalanan ke Terengganu pula, pengguna disaran bergerak antara pukul 8 pagi hingga 10 pagi atau 6 petang hingga 8 malam.
“Pengguna ke Kelantan pula digalak memulakan perjalanan antara pukul 6 pagi hingga 8 pagi atau 8 malam hingga 10 malam,” katanya hari ini.
Bagi perjalanan pulang ke Kuala Lumpur pada 1 dan 2 Jun depan, pengguna dari Pahang disaran bertolak antara pukul 6 pagi hingga 10 pagi atau 7 malam hingga 11 malam.
Pengguna dari Terengganu pula digalakkan bergerak antara pukul 11 pagi hingga 2 petang atau 8 malam hingga 10 malam manakala dari Kelantan antara pukul 6 petang hingga 9 malam atau 11 malam hingga 12 tengah malam.
AFA PRIME turut menggalakkan orang ramai memanfaatkan “Waktu Perjalanan Bebas” antara pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi bagi mengurangkan kesesakan.
Jelas kenyataan itu lagi, pihaknya komited memastikan pengguna lebuh raya dapat pulang ke kampung dengan selamat dan selesa sepanjang musim perayaan.
“Ini adalah musim penuh makna untuk menghayati pengorbanan, kesyukuran dan kebersamaan. Dengan mengikuti TTA yang disarankan, pengguna turut membantu melancarkan perjalanan semua pihak.
“Unit rondaan dan pasukan tindak balas kecemasan turut ditempatkan di lokasi strategik sepanjang musim perayaan bagi membantu pengguna sekiranya berlaku kecemasan,” jelas kenyataan itu.
Dalam pada itu, pengguna kenderaan ringan dinasihatkan mengelakkan waktu puncak bas ekspres di Plaza Tol Gombak antara pukul 9.30 pagi hingga 12 tengah hari serta 9.30 malam hingga 12 tengah malam bagi mengurangkan kesesakan trafik.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian LPT-Line di 1-700-818-700 atau platform X @LPTTrafik. – KOSMO! ONLINE.














