KUALA LUMPUR – Pelari pecut wanita negara, Shereen Samson Vallabouy menghadiahkan pingat emas buat Malaysia pada Kejohanan Olahraga New Taipei City 2026 di Taiwan, manakala Umar Osman menambah kilauan podium menerusi pingat perak dalam acara 400 meter (m) lelaki, hari ini.
Shereen yang turun dalam acara 400m memperagakan larian cukup bertenaga apabila muncul juara dengan catatan masa 52.73 saat (s) sekali gus mengatasi pelari Sri Lanka, Jithma Shenari Wijethunga yang meraih perak menerusi catatan 53.16s.
Pingat gangsa pula menjadi milik atlet Australia, Sophia Gregorevic yang menamatkan perlumbaan dengan catatan masa 53.86s.
Lebih manis, kemenangan tersebut merupakan pingat emas kedua Shereen pada musim ini selepas dia turut memenangi Terbuka Singapura dalam acara yang sama, April lalu.
Sementara itu, Umar meneruskan aksi cemerlang apabila menamatkan perlumbaan akhir 400m lelaki di tempat kedua dengan catatan masa 46.42s.
Pingat emas menjadi milik pelari Australia, Brenton Kerr yang mencatat masa 46.22s, manakala wakil tuan rumah, Chiao-Hung Wang meraih gangsa dengan catatan 46.43s.
Lebih membanggakan, Umar terlebih dahulu mencipta sejarah pada saingan separuh akhir apabila memperbaharui rekod kebangsaan miliknya sendiri dengan catatan 45.73s.
Catatan berkenaan memadam rekod lama 46.09s yang dilakarnya ketika Sukan Universiti Dunia di Chengdu, China pada 2 Ogos 2023, sekali gus mengesahkan peningkatan prestasi atlet berusia 23 tahun itu.
Turut mencuri tumpuan ialah Mohamad Armin Zahryl Abd Latif yang menghadiahkan pingat gangsa dalam acara 110m lari berpagar lelaki selepas mencatat masa 13.87s.
Pingat emas dimenangi atlet Taiwan, Yuan Kai Hsieh yang mencatat 13.57s, manakala perak menjadi milik wakil India, Tejas Ashok Shirse menerusi catatan 13.58s. -KOSMO! ONLINE














