MELAKA – Sebanyak 1,698 ekor rama-rama daripada lebih 15 spesies tempatan dilepaskan di Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka di Ayer Keroh di sini hari ini.
Ia sekali gus mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBOR) bagi pelepasan rama-rama terbanyak dalam satu acara konservasi di negara ini.
Pengarah Taman Rama-Rama dan Reptilia Melaka, Gerald Wong berkata, pelepasan tersebut diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-35 taman berkenaan yang berlangsung serentak dengan program Butterfly Extinction Run yang disertai kira-kira 600 peserta.
Menurutnya, semua rama-rama yang dilepaskan terdiri daripada spesies tempatan Malaysia termasuk Clipper, Tiger, Red Helen dan Common Mormon.
“Berdasarkan beberapa kajian, hampir separuh daripada spesies rama-rama di Malaysia berisiko pupus dalam tempoh 50 tahun akan datang jika usaha pemuliharaan tidak dipertingkatkan,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Peringkat Kebangsaan Konservasi Pelepasan Rama-Rama Terbanyak di Malaysia yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
Gerald berkata, pelepasan rama-rama berkenaan bukan sekadar untuk mencipta rekod, sebaliknya memberi peluang kepada serangga itu untuk mencari pasangan, mengawan dan membiak di habitat semula jadi sekali gus membantu meningkatkan populasinya.














