fbpx
FAUZIAH menjaga kakaknya, Jahidah yang masih terlantar di rumahnya di Seremban. - NOR SHAFAWATI YUP

‘Lima tahun banyak yang saya korbankan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEREMBAN – Fauziah Nordin, 45, tidak pernah berhenti memikirkan keadaan kakaknya, Jahidah Nordin, 48, yang masih terlantar selepas menjadi mangsa keganasan rumah tangga, lima tahun lalu.

Walaupun pelbagai perkara perlu dikorbankan, Fauziah tetap setia menjaga kakaknya selain membesarkan satu-satunya anak Jahidah iaitu Eshan Nufail berusia lima tahun yang juga orang kurang upaya (OKU).

Bagi Fauziah, menjaga kakaknya bukan sekadar tanggungjawab, sebaliknya amanah yang menuntut kekuatan mental, fizikal serta kesabaran luar biasa setiap hari.

“Memang banyak yang saya terpaksa korbankan seperti masa, tenaga dan masa depan bersama keluarga yang agak terhad kerana kebanyakan masa tertumpu kepada menjaga Kak Jahidah,” katanya kepada Kosmo!.

Bagaimanapun katanya, dia bersyukur kerana suaminya banyak membantu menguruskan rumah tangga sepanjang dia memberi tumpuan menjaga Jahidah.

Fauziah mengakui tugas menjaga insan terlantar bukan sesuatu yang mudah kerana memerlukan pengorbanan besar.

Katanya, Jahidah ketika ini masih sama keadaannya, manakala Nufail pula kini bersekolah serta menjalani terapi setiap hari.

“Walaupun berstatus OKU dan mengalami kelewatan perkembangan, saya bersyukur kerana Nufail menunjukkan banyak perubahan positif.

“Sekarang dia sudah pandai mendengar bunyi dan menyanyi, tahu membuka seluar sendiri, membuang air kecil di tandas, faham emosi orang sekeliling dan pandai meminta apa yang dia mahu,” katanya.

Jahidah koma ketika sedang hamil selepas dipercayai dipukul suami dalam kejadian pada Mei 2021 sebelum melahirkan bayi lelaki secara pembedahan di Hospital Tuanku Ja’afar Seremban pada 30 November 2021.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN