IPOH – Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menzahirkan penghargaan kepada pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki, Jaslinda Saludin di Gunung Batu Putih di Tapah sejak dua minggu lalu.
Saarani berkata, beliau dimaklumkan wanita itu berjaya ditemui dalam keadaan selamat dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang bertindak pantas dalam operasi tersebut.
“Alhamdulillah, Jaslinda yang dilaporkan hilang telah ditemui selamat. Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat, termasuk penduduk kampung Orang Asli yang membantu.
“Terima kasih kepada rakyat Malaysia atas doa yang dipanjatkan sepanjang operasi pencarian dijalankan,” katanya di sini hari ini.
Media melaporkan, pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih sejak 14 hari lalu, ditemui dalam keadaan selamat hari ini.
Difahamkan, mangsa ditemui oleh penduduk Orang Asli di Kampung Lubuk Gaharu Pos Musoh yang kemudian menghubungi pihak berkuasa.
Operasi SAR mengesan Jaslinda diaktifkan 25 Mei lalu selepas wanita itu dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung. – KOSMO! ONLINE














