KUALA LUMPUR – Sebarang tindakan berkaitan Selat Melaka perlu dilakukan secara bersama oleh negara-negara serantau.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan, keputusan mengenai laluan strategik itu mesti dipersetujui oleh negara yang berkepentingan iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.
Menurut beliau, perkara itu selari dengan pendirian yang telah dinyatakan oleh Menteri Luar, Mohamad Hasan sebelum ini.
“Apa-apa yang ingin dilakukan melibatkan Selat Melaka mesti mendapat keputusan bersama daripada negara-negara di rantau ini iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand.
“Selat Melaka ketika ini berada dalam keadaan aman, tiada halangan terhadap kapal-kapal yang melalui laluan tersebut,” katanya pada Majlis Penutup Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan berhubung hasrat pihak tertentu untuk mengawal laluan perdagangan utama dunia itu.
Tambahnya, tiada sebarang justifikasi untuk mana-mana negara, sama ada kuasa kecil mahupun besar, menyuarakan hasrat mengawal Selat Melaka.
“Tidak ada sebab untuk mana-mana negara menyatakan hasrat sedemikian kerana negara-negara di rantau ini berkeupayaan untuk mengurus dan mengawal perairan tersebut dengan baik,” ujarnya.
Selat Melaka merupakan antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia yang menghubungkan perdagangan antarabangsa, sekali gus menjadikannya aset strategik kepada negara-negara serantau.
Terdahulu, Mohamad dilaporkan berkata, tiada keputusan unilateral boleh dibuat berhubung Selat Melaka, sambil menekankan pendekatan berasaskan konsensus ASEAN dalam mengekalkan keselamatan maritim di laluan air yang penting itu.
Menurutnya, Malaysia bersama Singapura, Indonesia dan Thailand berkongsi persefahaman yang sangat kukuh serta menjalankan rondaan bersama bagi memastikan laluan selamat di selat tersebut, yang mana adalah antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia. – KOSMO! ONLINE














