LANGKAWI – Seorang kru jet ski yang dilaporkan hilang di perairan Pulau Tepor, di sini semalam ditemukan meninggal dunia petang ini.
Ketua Zon 4 Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Langkawi, Penguasa Bomba Mohd. Zamri Abdul Ghani berkata, mayat mangsa, Arash Nashran Abdul Maser, 23, ditemukan berhampiran Pantai Chenang kira-kira pukul 6 petang tadi.
“Mayat mangsa ditemukan oleh pasukan penyelamat yang membuat rondaan menggunakan jet ski kira-kira 30 hingga 50 meter (m) dari lokasi lelaki itu dipercayai terjatuh,” katanya di sini hari ini.
Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan operasi mencari dan menyelamat seorang kru jet ski yang dilaporkan terjatuh ke dalam laut di perairan Pulau Tepor di sini semalam berdepan cabaran susulan keadaan cuaca kurang baik.
Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata, ini kerana kelajuan angin di kawasan operasi dilaporkan antara 40 hingga 50 kilometer sejam serta ombak setinggi 2.5 hingga 3.5 meter.
Katanya, terdapat juga kejadian ribut petir di beberapa lokasi sekitar radius pencarian. – KOSMO! ONLINE














