fbpx
Majlis menandatangani MoU antara Lunas dengan empay syarikat antarabangsa serta tiga rakan strategik tempatan.

DSA 2026: Lunas meterai perjanjian RM300 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Lumut Naval Shipyard (Lunas) memeterai tujuh memorandum persefahaman (MoU) bernilai kira-kira RM300 juta sempena Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ir. Azhar Jumaat berkata, empat MoU melibatkan syarikat antarabangsa manakala tiga lagi bersama rakan strategik tempatan.

Katanya, langkah tersebut mencerminkan komitmen Lunas untuk memperkukuh kedudukan bukan sahaja dalam pembinaan kapal tradisional, tetapi turut merangkumi platform maritim termaju, sistem autonomi serta pemodenan armada dengan kepelbagaian keupayaan kejuruteraan.

“Sebagai syarikat tempatan, Lunas bukan sahaja bekerjasama dengan pemain antarabangsa, malah turut bertindak sebagai pemangkin kepada syarikat kecil dan sederhana (PKS) untuk berkembang dalam ekosistem industri maritim negara.

“Usaha ini penting bagi memastikan lebih banyak syarikat tempatan mendapat akses kepada pasaran lebih luas termasuk di peringkat serantau dan global,” katanya majlis menandatangani MoU di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa, di sini hari ini.

Beliau berkata, pengalaman serta penglibatan dalam projek berskala besar memberi kelebihan kepada Lunas untuk terus mengembangkan keupayaan industri tempatan dan seterusnya muncul sebagai pemain utama dalam sektor pembinaan kapal bernilai tinggi.

Menurutnya, antara kerjasama antarabangsa yang dimeterai termasuk dengan HD Hyundai Heavy Industries Co., Ltd. bagi program Multi Role Support Ship serta kerjasama pembinaan dan sokongan kapal tentera laut.

Selain itu, katanya, Lunas turut bekerjasama dengan Hull Vane B.V. bagi memperkenalkan teknologi hidrodinamik termaju untuk meningkatkan kecekapan bahan api, kestabilan serta mengurangkan pelepasan karbon kapal.

“Kerjasama dengan Ocean Infinity pula memberi tumpuan kepada pembangunan sistem maritim autonomi termasuk teknologi Uncrewed Surface Vehicle (USV), selain potensi penubuhan hab fabrikasi dan pemasangan serantau.

Di peringkat domestik, Lunas menjalinkan kerjasama dengan Labuan Shipyard & Engineering (LSE) dalam aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) kapal tentera laut bagi meningkatkan kesiapsiagaan kitaran hayat aset maritim negara,” ujar beliau.

Azhar berkata, syarikat itu turut bekerjasama dengan G7 Marine Technology Sdn. Bhd. dalam pembangunan dan pengkomersialan teknologi USV, serta dengan MTC Engineering Sdn. Bhd. bagi memperluas keupayaan kejuruteraan merentasi sektor termasuk minyak dan gas.

“Lunas melalui fasiliti Langkawi turut menjalin kerjasama dengan MHV Holdings Sdn. Bhd. dan syarikat Perancis, Sillinger S.A.S bagi pengembangan segmen bot laju dan bot khas untuk kegunaan kerajaan serta komersial.

“Kesemua kerjasama tersebut bertujuan menambah nilai produk tempatan selain memperluas pasaran ke peringkat serantau dan antarabangsa melalui perkongsian teknologi serta kepakaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN