KUALA LUMPUR – Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) kekal relevan sebagai sebuah platform yang membolehkan semua pemimpin termasuk pemain industri dari seluruh dunia untuk berhimpun.
Pengerusi DSA Exhibition and Conference Sdn. Bhd., Tan Sri Asmat Kamaludin berkata, ia menawarkan sesuatu yang sukar untuk ditandingi iaitu sebuah tempat di mana kerajaan, angkatan tentera, polis, agensi keselamatan serta pemain industri dapat bertemu dengan tujuan yang jelas.
Menurutnya, DSA juga merupakan platform yang kekal terbuka, seimbang dan inklusif dari segi penyertaan, di mana negara dan syarikat berkumpul pada kedudukan yang setara.
“DSA bermula pada tahun 1988 sebagai platform untuk menghubungkan pengeluar global dan penyedia perkhidmatan dengan pembuat keputusan dalam sektor pertahanan dan keselamatan.
“Dari masa ke semasa, ia telah berkembang menjadi sesuatu yang jauh lebih besar iaitu menjadi sebuah institusi penglibatan yang dibentuk oleh kesinambungan, disiplin dan keyakinan mereka yang kembali saban tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2026 & Pameran Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa (MITEC) di sini, hari ini.
Asmat berkata, penganjuran DSA & NATSEC 2026 mengambil pendekatan yang teliti selepas mempertimbangkang perubahan suasana dinamik global dan geopolitik.
Katanya, pameran itu yang menghimpunkan lebih daripada 1,456 syarikat daripada 63 negara mencerminkan penyertaan yang kukuh dan berdaya tahan, malah menegaskan keyakinan berterusan komuniti pertahanan dan keselamatan antarabangsa.
“Keupayaannya menarik menteri, pemimpin pertahanan, delegasi kanan, dan pembuat keputusan dari seluruh dunia kekal sebagai salah satu kekuatan utamanya,” katanya. – KOSMO! ONLINE














