SENI bukan sekadar medium ekspresi, malah satu ekosistem yang boleh membuka ruang ekonomi baharu.
Menerusi bidang seni, ramai yang terlepas pandang bahawa cabang kreatif ini juga boleh menawarkan karier yang menjamin masa depan sekali gus menaikkan nama negara di platform global.
Sehubungan dengan itu, Ekuiti Nasional Berhad melalui platform impak sosialnya, Iltizam, terus memperkukuh platform seni menerusi Program Residensi Iltizam Seni Kitaran 3.
Menurut Pengarah Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan, kitaran kali ini mengetengahkan bakat empat artis muda Bumiputera yang diberi peluang menumpukan sepenuhnya kepada penghasilan karya, sekali gus memperkasa landskap seni tempatan dengan pendekatan yang lebih tersusun.
“Dari sudut aktiviti seni, program ini menonjol kerana menekankan penerokaan bahan dan konsep. Setiap artis menggunakan pendekatan berbeza, termasuk eksplorasi tanah, baja, tekstur organik serta objek harian sebagai medium karya.
“Penggunaan bahan tidak konvensional ini memperlihatkan kecenderungan seni kontemporari yang semakin menerima elemen alam, bahan buangan dan objek biasa sebagai sebahagian daripada naratif visual,” katanya ketika ditemu bual CitaRasa di Galeri Sareng, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambahnya pendekatan tersebut juga membuktikan seni hari ini tidak terhad kepada cat atas kanvas, tetapi berkembang menjadi pengalaman sensori dan eksperimen ruang.
Katanya lagi, empat artis yang terpilih ialah Aliff Danial, Ammar Idris, Mairul Malek dan Khairanee Iro. Masing-masing hadir dengan identiti visual tersendiri.
Ada yang meneliti hubungan manusia dengan landskap, ada yang mengekspresikan memori dan emosi peribadi, manakala sebahagian lain mencuba gabungan bahan mentah untuk menghasilkan tekstur baharu.
Kepelbagaian ini menghasilkan sebuah refleksi segar tentang seni kontemporari Bumiputera yang sedang berkembang dan berani keluar daripada konvensi.
“Program residensi ini berlangsung di Karak, Bentong, Pahang sebuah lokasi yang dipilih bagi menyediakan suasana lebih tenang dan dekat dengan alam.
“Dalam tempoh tersebut, artis tidak hanya menghasilkan karya di studio, malah melalui proses mendalam yang melibatkan sesi bimbingan individu, kritikan seni dan diskusi bersama mentor,” ujarnya.
Kongsinya lagi, model residensi sebegini penting kerana ia memberi masa untuk artis bereksperimen tanpa tekanan rutin harian, sekali gus membina disiplin studio yang sering menjadi asas kepada perkembangan seseorang seniman profesional.

Salah satu aspek menarik ialah pengisian luar studio. Buat pertama kali juga, peserta dibawa ke Pattani, Thailand untuk lawatan lapangan.
Dalam dunia seni, perjalanan sebegini sering menjadi sumber idea kerana artis terdedah kepada budaya, komuniti dan seni visual setempat.
Pemerhatian terhadap seni bina, tekstil, ritual dan kehidupan masyarakat membuka kemungkinan baharu dalam karya, sekali gus meluaskan konteks pemikiran mereka.
Pengalaman rentas budaya ini sering menjadi titik perubahan kepada bahasa visual seorang artis muda.
Selain penghasilan karya, peserta turut didedahkan kepada proses kuratorial. Kerjasama dengan SARENG Gallery membolehkan mereka memahami bagaimana sesebuah pameran dirancang, daripada pemilihan karya, susun atur ruang, pencahayaan hingga interaksi dengan pengunjung.
Proses ini penting kerana ramai artis muda mahir menghasilkan karya tetapi kurang pengalaman mengurus pameran. Melalui pengalaman sebenar, mereka belajar bagaimana karya dipersembahkan untuk membentuk naratif visual yang kuat kepada penonton.
“Kemuncak program ini diterjemahkan melalui pameran Alir di Galeri Sareng, yang menghimpunkan 22 karya hasil eksplorasi peserta sepanjang lima bulan residensi.
“Bertemakan ‘alir’, pameran ini menyorot perjalanan idea yang mengalir daripada pengalaman hidup, memori, emosi dan pemerhatian persekitaran, kemudian diterjemah menjadi karya visual dengan bahasa masing-masing,” tambah Hizwani.
Kongsinya lagi, dalam konteks seni, tema ini memberi ruang kepada penonton menelusuri bagaimana proses penciptaan berlaku secara organik, merentas medium dan bahan yang berbeza.
Sejak diperkenalkan pada 2023, Iltizam Seni telah menyokong 21 artis muda dan membantu menjana lebih RM180,000 hasil jualan karya.
Namun nilai paling besar program ini bukan sekadar jualan, tetapi ekosistem pembelajaran yang membentuk seniman sebagai pengkarya dan profesional.














