KUALA LUMPUR – Kapal tempur pesisir pantai (LCS1) dikenali sebagai KD Maharaja Lela dijangka diserahkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pada Disember tahun ini.
Timbalan Panglima Tentera Laut, Laksamana Madya Datuk Badarudin Taha berkata, secara keseluruhan pembinaan lima kapal LCS di Lumut Naval Shipyard (Lunas) kini mencapai kemajuan keseluruhan 76.88 peratus.
Menurutnya, penyerahan kapal tersebut merupakan sebahagian usaha pemodenan aset dan rasionalisasi angkatan yang sedang giat dilaksanakan bagi memastikan kesiagaan TLDM sentiasa berada pada tahap tertinggi.
“Selain Maharaja Lela yang dijadual diserahkan Disember ini, manakala kapal LCS2, ‘Raja Muda Nala’ dan LCS3, ‘Sharif Mashor’ masing-masing dijangka diterima pada April dan Disember 2027,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Perutusan Ulung yang dibacakan oleh Asisten Ketua Staf Sumber Manusia Markas Tentera Laut, Laksamana Muda Muhamad Shakir Salleh sempena Hari TLDM ke-92 di KD Sri Gombak, di sini hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan LCS1, KD Maharajalela yang juga aset pertahanan pertama dihasilkan secara domestik akhirnya melakukan pelayaran sulungnya pada 28 Januari lalu selepas beberapa kali mengalami kelewatan dalam proses pembinaan.
Dalam pada itu, katanya, TLDM sedang membina sebuah ‘networked fleet’ atau rangkaian armada yang seimbang dan berkeupayaan melaksanakan penugasan merentasi pelbagai spektrum, daripada operasi keselamatan maritim hingga ke tahap peperangan.
Menurutnya, selain projek LCS, pembinaan tiga kapal Kapal Misi Pesisir Batch ke-2 (LMSB2) di Istanbul Shipyard, Turkiye turut menunjukkan kemajuan memberangsangkan apabila mencapai 47.9 peratus setakat ini.
“Ketiga-tiga kapal LMSB2 yang mula dibina pada 4 Disember 2024 dijangka diserahkan secara berperingkat bermula Oktober hingga Disember 2027. Upacara penamaan serta pelancaran kapal pula dijadual berlangsung Mei, Jun dan Ogos tahun ini,” ujarnya.
Dalam pada itu, katanya, pembangunan projek dua kapal Kapal Sokongan Pelbagai Peranan (MRSS) juga diteruskan sebagai sebahagian daripada pengukuhan keupayaan armada.
Tambahnha, langkah itu penting bagi memastikan TLDM kekal sebagai benteng utama negara dalam mempertahankan kedaulatan serta kepentingan maritim Malaysia.
“Pemodenan ini bukan sekadar penambahan aset, tetapi memperkukuh keupayaan tempur dan kesiapsiagaan armada dalam menghadapi cabaran keselamatan maritim semasa,” ujarnya.
Pada masa sama, beliau berkata, TLDM kini giat melatih bakal warga kapal dan ‘base maintainer’ di dalam dan luar negara sebagai persediaan menerima kapal LCS dan LMSB2.
“Pemilihan mereka dibuat secara teliti bagi memastikan memenuhi kriteria yang ditetapkan. Warga TLDM diseru memanfaatkan peluang ini untuk meningkatkan ilmu, kemahiran dan keupayaan diri. Sila rebut peluang membuktikan kewibawaan untuk dipilih sebagai ‘first crew’ aset baharu TLDM,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE














