SEPANG- Sebuah premis menjual beg tangan mewah di sebuah kompleks membeli-belah di Cyberjaya kerugian kira-kira RM90,000 selepas dipecah masuk tiga lelaki bertopeng, semalam.
Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada pemilik premis merupakan seorang wanita pada pukul 12.30 tengah hari semalam.
Beliau berkata, hasil siasatan awal mendapati sebanyak 25 unit beg tangan mewah pelbagai jenama dilaporkan hilang dalam kejadian berkenaan.
“Semakan rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) mendapati tiga suspek yang bertopeng dan berpakaian serba hitam telah memasuki premis sebelum menggeledah serta mengambil beg tangan yang dipamerkan di rak jualan.
“Siasatan di tempat kejadian mendapati suspek dipercayai menceroboh masuk ke dalam premis dengan cara mengumpil tingkap tandas,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Kes ini turut tular di media sosial dan mendapat perhatian orang ramai. Polis kini sedang giat mengesan suspek yang terlibat serta menjejaki semula barang-barang yang dilaporkan hilang,” katanya.
Katanya, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat kes, Sarjan Mohd Faizal Rashid @ Jaafar di talian 013-2222652. – KOSMO! ONLINE














