PETALING JAYA – Seorang lelaki berbangsa Cina mencuri perhatian selepas berkongsi kisah menderma darah sebanyak 28 kali, termasuk berpeluang membantu seorang kanak-kanak Melayu yang menghidap talasemia.
Menerusi hantaran di platform Threads, lelaki dikenali sebagai Vince berkata, dia telah menderma darah sebanyak 28 kali dengan setiap kali melibatkan 450 mililiter darah.
Menurutnya, dia yang mempunyai kumpulan darah AB+ RH+ pernah beberapa kali dihubungi Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk mendapatkan bantuan.
“Saya bertanya kenapa HSJ selalu hubungi saya. Doktor menjawab, ‘Sebab darah awak sepadan dengan darah seorang kanak-kanak Melayu yang menghidap talasemia’,” katanya.
Beliau berkata, darah tidak pernah mengenal bangsa atau kaum, sebaliknya setiap titisan darah hanya bertujuan menyelamatkan nyawa.
“Darah saya tidak pernah kenal Melayu, Cina atau India. Ia hanya untuk menyelamatkan nyawa. Kita saling membantu jika perlu. Saya anak Malaysia,” katanya.
Perkongsian tersebut meraih lebih 51,000 tanda suka dan ribuan perkongsian semula selain menerima pelbagai reaksi positif daripada orang ramai.
Kementerian Kesihatan (KKM) turut meninggalkan komen pada hantaran tersebut dengan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Vince serta semua penderma darah yang terus tampil menderma tanpa mengira sebarang perbezaan.
Menurut KKM, kisah itu mengingatkan bahawa darah tidak pernah mengenal kaum, agama atau latar belakang.
“Ia hanya tahu satu perkara, menyelamatkan nyawa. Sebanyak 28 kali menderma, setiap titisan darah itu menjadi harapan dan penyelamat kepada seseorang individu dan dalam perkara ini seorang kanak-kanak.
“Itulah ihsan, lambang kasih sayang tanpa sempadan,” kata kementerian itu.
Ruangan komen turut dipenuhi kisah-kisah penderma dan penerima darah.
Seorang pengguna memaklumkan beliau sudah 101 kali menderma darah dan tidak pernah mengetahui kepada siapa darahnya diberikan, sebaliknya menganggap tanggungjawabnya hanya untuk membantu mereka yang memerlukan.
“Ini kali ke 101 tak pernah tahu darah kita kepada siapa diberikan yang pentingnya selesai tugas kita. Jumpa 12 September depan kali ke 102 derma,” tulis @Azlanlan689 sambil memuat naik sekeping gambarnya menderma darah.
Seorang lagi pengguna pula menzahirkan penghargaan kepada semua penderma darah kerana anak istimewanya pernah beberapa kali menerima transfusi darah bagi meneruskan rawatan.
“Terima kasih orang baik dan semua yang hebat menderma. Anak istimewa saya beberapa kali menerima ihsan kalian. Semoga murah rezeki dan sentiasa sihat,” katanya. – KOSMO! ONLINE













