KEMAMAN – Lebih 20 individu disyaki penagih kempunan untuk ‘bersarapan’ dadah selepas lokasi penagihan mereka diserbu anggota penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di sebuah ladang kelapa sawit di Seri Bandi, di sini, hari ini.
Serbuan pada pukul 7 pagi itu dilakukan selepas risikan mendapati kawasan kelapa sawit tersebut menjadi antara sarang penagihan popular di daerah ini.
Pengarah AADK Terengganu, Arzmi Abdullah berkata, mereka merupakan sebahagian 169 individu disyaki penagih yang ditahan di Setiu dan Marang menerusi Ops Perdana yang dilakukan selama lima hari berakhir hari ini.
“Seramai 65 individu dipercayai penagih dadah ditahan di Kemaman dan masing-masing 52 orang di Marang dan Setiu. Ada suspek yang ditahan adalah janda, duda, guru, buruh, dua pekerja restoran celup tepung berusia 18 hingga 61 tahun,” katanya selepas mengetuai operasi hari ini.
Arzmi memberitahu, sebahagian suspek mempunyai hubungan kekeluargaan seperti bapa dan anak serta adik-beradik. Ujian saringan air kencing mendapati 132 individu positif pil kuda, manakala tujuh masing-masing positif heroin dan ketum. – KOSMO! ONLINE














