IPOH – Pertubuhan Peniaga-Peniaga India Negeri Perak menyatakan kesediaan untuk berbincang semula dengan kerajaan negeri berhubung cadangan merobohkan bangunan terbiar, Flat Sungai Pari di Buntong.
Presidennya, K. Hari Krishnan berkata, cadangan merobohkan bangunan tanpa melibatkan kos kepada kerajaan negeri itu pernah dibuat pada 2023 dan 2024 namun tidak menerima sebarang keputusan sehingga berlaku tragedi mengorbankan dua remaja perempuan baru-baru ini.
Katanya, tawaran merobohkan bangunan secara percuma itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) pertubuhan berkenaan bagi membantu menjamin keselamatan penduduk di kawasan sekitar.
“Pada Februari 2023, kami mengemukakan cadangan kepada Menteri Besar Perak supaya bangunan Flat Sungai Pari dirobohkan secara percuma melalui CSR.
“Cadangan itu dibuat kerana bangunan berkenaan telah lama terbiar dan didakwa menjadi lokasi penyalahgunaan dan pengedaran dadah, tempat pelajar menceroboh untuk merokok dan mengambil dadah sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan awam.
“Bagaimanapun, tiada maklum balas diterima sehingga rayuan kedua dibuat pada September 2024,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
Mengulas lanjut beliau berkata, dalam rayuan itu, pihaknya turut menawarkan untuk melaksanakan kerja-kerja merobohkan bangunan, membersihkan kawasan, menghancurkan sisa runtuhan dan meratakan tapak.
Katanya, kos merobohkan bangunan itu sebelum ini dianggarkan sekitar RM1.5 juta, namun jumlah tersebut dijangka meningkat kira-kira 20 peratus berikutan kenaikan kos semasa.
“Tawaran ini dibuat hasil kesediaan kontraktor yang merupakan ahli pertubuhan untuk menyumbang khidmat secara CSR kepada masyarakat kerana kebanyakan ahli berasal dari Ipoh.
“Jadi, kalau kerajaan negeri memanggil kami untuk berjumpa dan berbincang semula mengenai cadangan sebelum ini, pihak pertubuhan bersedia pada bila-bila masa,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan dua pelajar perempuan berusia 14 tahun ditemukan maut di kawasan bangunan perumahan kosong di Flat Sungai Pari, Buntong, pada Jumaat lalu.
Kedua-dua mangsa yang juga rakan baik dipercayai bersekolah di sekolah sama di Ipoh dan mengikuti sesi pembelajaran pada sebelah petang. – KOSMO! ONLINE














