AYER KEROH – Kerajaan negeri membuka peluang kepada rakyat yang berminat menceburi sektor pertanian dengan menawarkan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) secara percuma selama setahun bagi mengusahakan tanah-tanah kerajaan yang terbiar.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, inisiatif itu bertujuan menggalakkan lebih ramai usahawan tani baharu sekali gus memanfaatkan tanah kerajaan yang sebelum ini tidak diusahakan.
Menurutnya, pemohon yang berjaya bukan sahaja diberikan LPS secara percuma, malah akan menerima bimbingan serta bantuan daripada Jabatan Pertanian bagi memastikan projek yang diusahakan mampu menjana pendapatan.
“Kepada mana-mana petani yang mahu mengusahakan sektor pertanian dan melihat ada tanah kerajaan yang terbiar di kawasan masing-masing, mereka boleh memohon kepada kerajaan negeri.
“Untuk tahun ini kita memberikan LPS secara percuma selama setahun dan mereka juga boleh berdaftar dengan Jabatan Pertanian dan kita akan membantu daripada pelbagai aspek bagi memastikan mereka memperoleh keuntungan daripada hasil pertanian serta produk yang diusahakan,” katanya selepas merasmikan Melaka Agrofest 2026 di Dataran Sejarah Ayer Keroh di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Muhamad Akmal berkata, kerajaan negeri turut giat meneroka tanaman baharu termasuk projek ladang bawang yang sedang diusahakan di negeri ini.
Katanya, sekiranya projek tersebut berjaya, Melaka bakal memperkenalkan produk bawang tempatan selepas kejayaan memasarkan Beras Melaka.
“Ramai yang bertanya mengenai Beras Melaka, sebenarnya ia adalah beras yang ditanam di sawah-sawah di negeri Melaka. Kita berharap projek bawang yang sedang diusahakan ini turut memberi hasil yang baik dan menjadi satu lagi produk pertanian kebanggaan Melaka,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE














