fbpx
Hussein. Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

Op Vape 1.0: Dadah kuat furanyl fentanyl tembusi kedai vape

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Op Vape 1.0 yang dilakukan secara besar-besaran di seluruh negara berjaya membongkarkan kewujudan dadah berbahaya jenis furanyl fentanyl yang dipercayai mula menembusi pasaran tempatan melalui kedai vape.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi bermula 13 hingga 17 April lalu melibatkan 1,177 pegawai dan anggota polis bersama 2,011 pegawai pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan, Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan pihak berkuasa tempatan.

“Operasi dijalankan serentak di seluruh negara dengan memfokuskan kepada pemeriksaan premis vape dan mengesan individu yang terlibat dalam pengedaran bahan terlarang.

“Sebanyak 1,670 premis diperiksa dengan 728 daripadanya melanggar peraturan dan 20 tangkapan dibuat atas pelbagai kesalahan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Sebanyak 8,091 peranti vape, 5,257 katrij dan 19.67 kilogram (kg) dadah dirampas bernilai RM4.6 juta. Rampasan utama membabitkan cecair furanyl fentanyl seberat 18.55kg, selain cecair THC, serbuk MDMA dan air ketum.

“Dadah ini boleh merosakkan seramai 48,050 individu,” ujarnya.

Pihak berkuasa turut menemukan bahan disyaki mengandungi furanyl fentanyl di pasaran tempatan. Rampasan dibuat di sebuah premis menjual vape, namun siasatan masih dibuat bagi menentukan sama ada bahan itu dijual secara terbuka atau kepada pelanggan tertentu.

“Pihak polis percaya penjualan dilakukan secara terpilih, melibatkan pelanggan tetap. Siasatan awal mendapati bahan ini dipercayai dibawa masuk dari luar negara, berkemungkinan dari rantau Asia Tenggara.

“Bagaimanapun, harga masih dalam siasatan bergantung kepada kandungan dan jumlah cecair dalam vape tersebut,” katanya.

“Setakat ini, kita tidak dapat mengesahkan terdapat permintaan tinggi terhadap vape mengandungi dadah itu di Malaysia, namun ada bukti sindiket sedang cuba memperkenalkan dan memasarkannya di dalam pasaran tempatan,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, penggunaan furanyl fentanyl amat berbahaya kerana kesannya 50 hingga 100 kali lebih kuat berbanding morfin dan heroin.

“Di negara maju seperti Amerika Syarikat dan Kanada, penggunaan fentanyl dikaitkan dengan peningkatan kes kematian akibat dos berlebihan.

“Di Malaysia, setakat ini belum ada kes kematian yang dikaitkan secara langsung, namun penemuan ini membimbangkan kerana ia menunjukkan bahan tersebut sudah mula memasuki pasaran,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN