PETALING JAYA – Seorang penyewa melalu detik mencemaskan apabila seorang lelaki dipercayai berada di bawah pengaruh dadah bertindak agresif mengetuk pintu rumahnya di Puchong, lewat malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 10.50 malam tadi itu dikongsikan pengguna Threads, are_zamm_, yang mendakwa lelaki terbabit cuba masuk ke rumah sewanya ketika dia bersama keluarga termasuk bayi kecil.
“Rumah aku ada baby (anak kecil), memang takut. Tak tahu dia mabuk atau ‘high’ mushroom,” katanya.
Menurutnya, lelaki tersebut turut mendakwa dirinya sedang dikejar dan kononnya ada individu mahu menembaknya. Suspek juga bertindak di luar kawalan apabila cuba memanjat kenderaan serta merosakkan rak kasut di hadapan rumah.
Difahamkan, pihak polis yang tiba di lokasi memaklumkan lelaki itu dipercayai berada dalam keadaan khayal akibat pengambilan bahan terlarang jenis ‘mushroom’.
Perkongsian tersebut turut mengundang reaksi orang ramai yang bimbang dengan penularan bahan berbahaya itu.
“Bila dah kena ke otak, macam-macam dia nampak, sampai rasa macam ada yang kejar,” kata dxnashfx.
“Rasa macam ada orang nak bunuh, nampak benda yang tak ada,” kata fadh_sulaiman.
Orang ramai dinasihatkan supaya segera menghubungi pihak berkuasa sekiranya berdepan situasi mencurigakan, terutama melibatkan individu yang bertindak agresif dan di luar kawalan.
Kosmo! kini masih cuba mendapatkan pengesahan pihak polis berkenaan kes ini. – KOSMO! ONLINE














