fbpx
Mohd. Imran

Isu babi: Siew Ki didesak tarik balik ucapan biadab di DUN hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Pemuda UMNO Selangor mengecam keras ucapan perbahasan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki yang disifatkan biadab serta dilihat menyentuh titah Sultan Selangor berkaitan isu penternakan babi.

Ketua Pemuda UMNO Selangor, Datuk Mohd. Imran Tamrin berkata, hujahan yang dibangkitkan termasuk menyentuh prinsip kesamarataan di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan adalah meleset seterusnya gagal memahami secara menyeluruh struktur kedudukan undang-undang.

Menurutnya, ini termasuk tidak merujuk kedudukan dan peranan Sultan Selangor sebagaimana yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Kerajaan Selangor 1959.
“Konteks ucapan itu juga seolah-olah mencabar serta mempertikaikan Titah Sultan Selangor berkenaan isu penternakan babi.

“Ini seterusnya memberi gambaran bahawa Siew Ki tidak berpuas hati dan terus membangkitkan isu berkaitan ternakan babi yang boleh menyinggung institusi DiRaja Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah tidak berkenan penternakan babi di mana-mana daerah di Selangor selain turut menegur sikap pihak tertentu yang enggan mematuhi titah larangan penternakan babi di negeri ini sambil menunjukkan rasa tidak puas hati mereka.

Malah, kerajaan negeri juga telah mengambil tindakan susulan termasuk membatalkan projek ternakan babi di Bukit Tagar pada 26 Januari lalu serta mengumumkan pemberhentian lesen dan menutup ladang-ladang babi pada 12 Februari selaras dengan titah tersebut.

Sehubungan itu, Mohd. Imran berkata, Pemuda Selangor mendesak Siew Ki menarik balik kenyataan dan isi kandungan perbahasan beliau pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Tegasnya, sekiranya gagal berbuat demikian, wakil rakyat itu wajar dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri Selangor mengikut Peraturan Tetap 70(3).

“Siew Ki juga perlu diberi peringatan dan pengajaran serta tindakan tegas daripada Kerajaan dan Backbenchers atas tindakannya yang tidak bertanggungjawab dan biadap tersebut.

“Perkara seperti ini tidak wajar berlaku di dalam sebuah negeri yang dinaungi oleh Sultan dan Institusi Raja Melayu yang mempunyai kedudukan serta peranan penting yang dijamin oleh Perlembagaan dan Undang-Undang,” katanya.

Kosmo! semalam melaporkan Siew Ki memohon pertimbangan supaya penternakan babi dibenarkan semula di Selangor denvan penternakan babi sepatutnya tidak dibezakan dengan penternakan haiwan lain selain menyentuh hak kesamarataan warganegara yang terjamin di bawah Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN