fbpx
KING SING.

Keselamatan pengangkutan imej pelancongan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menegaskan bahawa sebarang pelanggaran yang menyentuh soal keselamatan terhadap pengurusan kenderaan pelancongan, tidak wajar dipandang remeh.

Beliau berkata, pemandu mempunyai tunggakan saman yang banyak, cukai jalan tamat tempoh, memandu secara berbahaya serta penyelenggaran kenderaannya tidak menepati piawaian sehingga mengundang risiko perlu dikenakan tindakan tegas.

Tindakan itu pula boleh dijalankan sama ada oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), mahupun Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Sekiranya masalah dibiarkan berlarutan untuk jangka masa yang panjang tanpa sebarang pembetulan segera, maka sistem itu sendiri yang harus dikaji semula,” katanya dalam kenyataan semalam.

Kenyataan tersebut susulan kemalangan bas persiaran yang hilang kawalan dan melanggar Perodua Aruz sebelum melanggar sebuah lagi bas persiaran di Kilometer 15 Jalan Genting Highlands-Genting Sempah pada 30 Mei lalu.

Dalam pada itu, King Sing berkata, berdasarkan maklumat semasa, pemandu yang terlibat bukan sahaja memiliki enam rekod kesalahan JPJ, malah turut mempunyai 29 rekod kesalahan trafik polis.

“Ini termasuklah memandu melebihi had laju, tiada lesen Vokasional (PSV) yang sah, tiada lesen memandu, melanggar isyarat lalu lintas, dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu.

“Situasi ini amat membimbangkan dan sekali gus menunjukkan kepentingan untuk memperkukuh kawal selia kenderaan pelancongan, penapisan latar belakang pemandu, serta mekanisme penguatkuasaan keselamatan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, keselamatan pengangkutan pelancongan bukan sahaja melibatkan nyawa penumpang, malah memberi kesan langsung kepada imej pelancongan negara.

Sehubungan itu, King Sing memberi komitmen bahawa kementerian akan terus memantau rapi isu ini dan bekerjasama erat dengan agensi-agensi penguatkuasaan demi memastikan tahap keselamatan industri pengangkutan pelancongan terus cemerlang, sekali gus menyediakan persekitaran selamat dan terjamin bagi pelancong tempatan mahupun antarabangsa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN