PORT DICKSON – Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan dakwaan hubungan kerjasama antara parti itu dan Perikatan Nasional (PN) semakin longgar hanyalah pandangan peribadi pihak lawan.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerjasama yang terjalin antara BN dan PN di Negeri Sembilan ketika ini berada dalam keadaan baik malah keserasian kedua-dua gabungan itu akan diterjemahkan menerusi keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1 Ogos depan.
“Itu pandangan beliau (Muhyiddin). Tetapi kami mempunyai persefahaman yang penting dan kita akan lihat keputusannya pada 1 Ogos nanti.
“Apa pun telahan yang dibuat oleh beliau dan tanggapan itu adalah hak beliau. Tetapi kami telah membina keserasian dan kita akan terjemahkan keserasian ini dengan keputusan yang akan kita sama-sama lihat pada 1 Ogos ini,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Masyarakat Kaum India Negeri Sembilan di Lukut di sini malam ini.
Sebelum ini, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa hubungan kerjasama antara BN dan PN semakin longgar susulan beberapa kenyataan yang dikeluarkan kepimpinan kedua-dua gabungan politik itu.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid turut menolak dakwaan manifesto BN Negeri Sembilan hanya meniru atau ‘copy-paste’ manifesto PH seperti didakwa pihak tertentu.
Menurutnya, manifesto yang dibawa BN merupakan kesinambungan agenda pembangunan yang telah dirancang sejak sekian lama dan bukannya meniru mana-mana pihak.-KOSMO! ONLINE














