PETALING JAYA – Tular di media sosial satu video memaparkan kewujudan lapisan lumut berwarna hijau kebiruan di permukaan kolam air panas di Ulu Legong, Baling, Kedah sehingga mencetuskan pelbagai persoalan dalam kalangan netizen.
Menerusi hantaran yang dimuat naik di Threads, seorang pengguna bertanya mengenai kewujudan bahan berkenaan yang dilihat memenuhi sebahagian kawasan kolam air panas tersebut.
Pengguna berkenaan kemudiannya dilihat memegang lapisan lumut berkenaan sambil bertanya adakah ia berbahaya buat pengunjung yang datang.
Seorang individu dikenali Amin Hamzah yang mempunyai pengetahuan dalam bidang ekologi kemudiannya menjelaskan bahawa bahan tersebut berkemungkinan merupakan cyanobacteria atau alga hijau-biru yang lazim ditemui di kawasan air panas semula jadi.
Menurutnya, organisma berkenaan mampu hidup dalam persekitaran bersuhu tinggi dan dipercayai menyumbang kepada pembentukan protein serta antioksidan semula jadi dalam air.
Katanya lagi, kewujudan alga tersebut juga menjadi antara faktor yang menyebabkan ramai pengunjung merasakan kulit menjadi lebih licin selepas berendam di kolam air panas.
“Tu alga hijau-biru (cyanobacteria), boleh hidup dekat air panas… Memang tak dicuci sebab dari situ lah segala protein dan antioksidan terhasil…. sebab tu la kulit kau rasa mulus je lepas rendam air panas..
“Kalau cuci, tak ada lah manfaat rendam air panas tu, baik mandi air panas kat rumah je.. Juga, dia tolong bagi air tu kekal jernih.. jangan risau la ‘flesh eating bacteria’ bagai, tu kat laut..
“Kalau ada pun ‘brain eating’ bakteria, tapi padahal kat air terjun lagi banyak.. Lagipun, kita tak pernah ada lagi kes-kes macam tu,” komennya.
Seorang lagi individu yang mendakwa dirinya bekerja di makmal turut bersetuju dengan kenyataan Amin Hamzah.
“Saya bekerja di makmal, dan saya setuju dengan info anda,” komen Amrkh.
Dalam pada itu, seorang pengguna media sosial yang pernah berkunjung ke lokasi sama turut berkongsi pengalaman menggunakan lumut tersebut sebagai sapuan pada kulit kerana percaya ia mempunyai khasiat tertentu.
“Ni kalau depa jumpa pak cik yang lumur algae ni satu badan mesti pakat takut. Kita dulu ada pak cik selalu datang Legong ni, tawar nak lumur kat muka. Best weh. Tapi geli sikit lah benda tu lembik lembik licin,” komen Mirey. – KOSMO! ONLINE














