fbpx
Zaiton mengharapkan bantuan orang ramai untuk menampung kos rawatan dan pembedahan Nur Adreena yang kini menderita penyakit jantung berlubang. – TOREK SULONG

Duit tiada, terpaksa guna air sirap ganti susu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PASIR PUTEH – Sepasang suami isteri daripada keluarga nelayan di perkampungan Nelayan Tok Bali di sini buntu memikirkan nasib anak bongsu mereka yang menghidap penyakit jantung berlubang sehingga terpaksa menangguhkan pembedahan akibat kesempitan wang.

Lebih menyedihkan apabila faktor kemiskinan turut memaksa keluarga tersebut memberikan air sirap kepada anak bongsu mereka, Nur Adreena Raisya Parwira, 4, setiap kali kehabisan belanja untuk membeli bekalan susu.

Ibu pesakit, Zaiton Derani, 42, berkata, dia terpaksa menangguhkan pembedahan Nur Adreena yang menghidap penyakit jantung berlubang dan saluran sempit kerana tidak mampu menyediakan baki kos rawatan sebanyak RM13,500.

Menurutnya, Nur Adreena yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik dilahirkan dengan penyakit berkenaan dan sepatutnya menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada 14 Julai lalu.

“Saya terpaksa menahan sebak setiap kali melihat anak saya tercungap-cungap untuk menarik nafas kerana dia mudah penat dan cepat lelah.

“Kami tidak mampu membeli susu khas untuk pesakit jantung. Kami hanya mampu memberikan susu biasa mengikut kemampuan, malah terpaksa memberi air sirap apabila keadaan benar-benar terdesak,” katanya ketika ditemui semalam.

Zaiton menjelaskan, ketika Nur Adreena berusia tiga bulan, doktor telah memasukkan tiub kecil pada saluran jantungnya dan sehingga kini anaknya itu sudah menjalani tiga prosedur pembedahan termasuk penggantian tiub kecil mengikut proses pembesarannya.

Katanya, Nur Adreena disahkan menghidap Tetralogy of Fallot, iaitu sejenis penyakit jantung kongenital kompleks dengan beberapa komplikasi pada saluran darah serta ruang jantung yang memerlukan rawatan pakar secara berterusan.

Pembedahan jantung terbuka di IJN itu nanti bertujuan untuk membetulkan kecacatan tersebut dan Nur Adreena juga masih menerima rawatan susulan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu serta menjalani prosedur pembedahan oral di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian.

Bercerita lanjut mengenai kos perubatan, Zaiton berkata anggaran keseluruhan pembedahan tersebut adalah sebanyak RM70,000.

“Kami telah pun memohon bantuan daripada pelbagai pihak termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK), Yayasan IJN serta Unit Zakat IJN Sdn. Bhd.

“Ketiga-tiga pihak berkenaan telah berjanji untuk meluluskan peruntukan berjumlah RM56,500. Disebabkan jumlah subsidi maksimum yang boleh diluluskan adalah setakat itu, kami perlu mencari sendiri baki sebanyak RM13,500 untuk meneruskan pembedahan,” katanya.

Beban keluarga ini semakin berat memandangkan suaminya, Parwira Omar, 46, hanya bekerja sebagai nelayan dengan pendapatan yang tidak menentu, malah ada kalanya sekadar memperoleh RM200 sebulan.

Selain Nur Adreena, mereka turut menyara dua lagi anak yang kini menuntut dalam Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cherang Ruku di sini.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan bagi membantu membiayai kos rawatan Nur Adreena boleh menghubungi Zaiton di talian 010-985 5502 atau menyalurkan bantuan terus ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) milik beliau bernombor 0301541100008897.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN