PONTIAN – Seramai 15 nelayan di Kampung Sungai Chengkeh, Serkat di sini merayu kerajaan membina semula Jeti Pengkalan Surau sepanjang kira-kira 300 meter yang kini uzur dan membahayakan keselamatan pengguna.
Jeti nelayan itu dikatakan dibina 10 tahun lalu menerusi program Tanggungjawab Sosial Korporat sebuah pertubuhan bukan kerajaan, namun kini semuanya sudah mula mereput.
Ab. Samir Mahadi, 69, berkata, jeti berkenaan merupakan laluan utama nelayan untuk menangkap ikan, udang dan ketam yang menjadi sumber pendapatan mereka.
Katanya, nelayan menggunakan jeti itu setiap hari sama ada pada waktu malam, subuh atau petang mengikut keadaan air pasang.
“Keadaan jeti sekarang sangat membimbangkan kerana banyak papan telah reput dan berlubang. Kami berharap pihak Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia dapat memberi perhatian.
“Jika tidak diganti dengan jeti baharu, kerosakan akan menjadi semakin serius sekali gus mengancam keselamatan nelayan yang menggunakannya setiap hari,” katanya.
Ghazali Saadon, 67, pula berkata, faktor usia menyebabkan dia lebih bimbang menggunakan jeti tersebut yang kini berlubang di beberapa bahagian.
Katanya, keadaan itu menjadi lebih berbahaya apabila nelayan membawa pulang hasil tangkapan yang banyak kerana dikhuatiri struktur jeti tidak lagi mampu menampung beban.
“Bukan sahaja bimbang jeti patah, malah kaki juga boleh terperosok ke dalam lubang ketika pikul hasil tangkapan,” katanya.














