fbpx

Gaya dan prestasi Volvo S60 T8

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
REKAAN bahagian hadapan PHEV ini yang mempesona serta mampu memikat hati ramai peminat dunia automotif.

SEJAK pelancaran kereta Volvo pertama pada tahun 1972 dari barisan pengeluaran Gothenburg, Volvo Car Group telah memantapkan kedudukannya sebagai peneraju dalam dunia automotif dari aspek keselamatan, teknologi dan inovasi.

Pada tahun 1999, Volvo Cars adalah sebahagian daripada Volvo Group Sweden sebelum dibeli oleh Ford Motor Company. Pada 2010, Volvo Cars telah dimiliki oleh Zhejiang Holding dari China.
Volvo Cars dipasarkan dan dijual oleh syarikat pasaran serantau dan syarikat jualan nasional melalui kira-kira 2,300 pengedar di hampir 100 negara yang menawarkan model kereta segmen premium dalam tiga versi: sedan (S60, S90), versatile estate (V60, V90) dan kenderaan SUV (XC40, XC60, XC90).

Di negara ini, Volvo Car Malaysia ditubuhkan secara rasmi pada tahun 1999 dan sejurus selepas itu syarikat tersebut telah membuka kilang pemasangan di Shah Alam, Selangor.

Pada 2016, Volvo Car Malaysia menjadi pasaran pertama bagi kereta pemasangan tempatan di luar Sweden iaitu XC90 PHEV (kenderaan elektrik hibrid plug-in) yang membuka jalan untuk pemasangan PHEV Volvo lain.

Model yang menjadi pilihan Garaj pada keluaran kali ini ialah S60 T8. Model ini sebenarnya kurang popular berbanding pesaing terdekatnya BMW 330e M Sport dan Mercedes Benz C43.

Volvo S60 T8 memasuki pasaran Malaysia pada mulanya sebagai kenderaan import sepenuhnya (CBU) sebelum boleh didapati sebagai kenderaan pemasangan tempatan (CKD) bermula tahun lalu.

IMEJ sedan Volvo S60 T8 dari pandangan sisi.

Hanya satu varian diperkenalkan iaitu T8 R-Design, sama seperti varian CBU. Volvo S60 T8 CKD dikuasakan dengan enjin T8 Twin Engine e-AWD plug-in hibrid di mana ia boleh menghamburkan kuasa sebanyak 407hp dan tork maksimum 640Nm.

Apa yang menariknya, motor elektriknya mampu untuk menyalurkan 87hp dan tork maksimum 240Nm, manakala enjin petrol Drive-E yang dilengkapi dengan teknologi pengecas super dan pengecas turbo menghasilkan 320hp dan tork 400Nm.

Volvo S60 T8 ini mampu untuk memecut dari pegun hingga 100 kilometer sejam (km/j) hanya dalam tempoh 4.4 saat.

Menurut kenyataan Volvo, sebagai kenderaan PHEV, S60 T8 CKD bukan sahaja membantu mengurangkan pelepasan ekzos, tetapi turut menawarkan pecutan dan prestasi yang menyeronokkan.

Dalam erti kata lain, model ini adalah kenderaan yang membolehkan pemandu untuk kembali bersemangat dengan pengawalan prestasi.

KERETA ini dilengkapi dengan pelbagai sistem keselamatan canggih.

Inisiatif Volvo memperkenalkan kenderaan PHEV sebelum ini bertujuan mengurangkan jejak karbon bagi setiap kenderaan sebanyak 40 peratus dalam tempoh 2018 hingga 2025.

Volvo adalah pengeluar kereta pertama yang menggunakan teknologi blockchain untuk memantau dan mengesan kobalt di seluruh rangkaian pembekalan.

Model itu adalah takrifan kecantikan Scandinavia di mana pemilik boleh menikmati perjalanan selesa dengan tempat duduk dibaluti Charcoal Fine Nappa Leather dengan Open Grid Textile yang eksklusif.

Penggunaan sistem bunyi 14 pembesar suara jenama Harman Kardon yang dipautkan ke sistem infotainment Sensus Connect menambah kemewahan ini.

Tambahan pula sistem infotainment itu boleh digunakan dengan Apple CarPlay dan Android Auto. Ciri-ciri itu membolehkan pemandu kekal berhubung sepanjang masa.

TEMPAT duduknya dibaluti tekstil Charcoal Fine Nappa Leather dan Open Grid Textile.

Penggunaan skrin sentuh ala tabletnya lengkap dengan fungsi navigasi, aplikasi hiburan dan fungsi kereta.

Sebelum ini model XC60 disokong oleh platform Scalable Product Architecture (SPA), kini S60 T8 juga mendapat ciri sama. SPA ialah teknologi keselamatan dan sistem infotainment Volvo Car sendiri.

Dalam aspek keselamatan, Volvo S60 T8 CKD menawarkan City Safety dengan teknologi Autobrake yang membantu pemandu mengelakkan potensi perlanggaran serta satu-satunya sistem di pasaran yang mengenal pasti pejalan kaki, penunggang basikal dan haiwan (besar). Ciri-ciri City Safety kini juga melibatkan brek automatik untuk mengurangkan perlanggaran dari arah hadapan.

Volvo S60 T8 CKD juga dilengkapi Run-off Road Mitigation, Oncoming Lane Mitigation dan lain-lain sistem bantuan stereng. Cross Traffic Alert juga meningkatkan keselamatan orang di dalam dan luar kereta ini yang direka untuk mengesan lintasan trafik di belakang apabila mengundur.

RUPA belakang kereta ini miliki rekaan tersendiri.

Lima warna menarik seperti Crystal White Pearl, Fusion Red Metallic, Onyx Black Metallic, Pebble Grey Metallic dan Thunder Grey Metallic ditawarkan.

Dalam masa sama, Volvo S60 T8 CKD juga boleh ditempah secara dalam talian melalui laman web Volvo Car Malaysia sebagai alternatif lebih selamat demi penjagaan penjarakan fizikal.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI