SHAH ALAM – Status penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Selangor hanya akan diputuskan selepas tamat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd. Najwan Halimi berkata, perbincangan lanjut berhubung perkara itu akan dilakukan menerusi pertemuan antara kerajaan negeri dan Jawatankuasa Tertinggi Sukma bagi membentangkan hasil pandangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dibangkitkan dalam sidang DUN kali ini.
Menurutnya, segala input dan cadangan yang diperoleh akan diusulkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta jawatankuasa berkenaan sebelum sebarang keputusan dimuktamadkan.
“Semalam Menteri Belia dan Sukan (Dr. Mohammed Taufiq Johari) sudah memberikan komen mengenai Sukma 2026. Jadi, kita tunggu dahulu sidang DUN Selangor ini selesai sebelum saya boleh bertemu dengan Menteri.
“Segala input daripada sidang DUN akan kita usulkan kepada Kementerian Belia Dan Sukan (KBS) serta jawatankuasa Sukma,” katanya pada sidang akhbar di lobi DUN Selangor, hari ini.
Beliau berkata, keputusan sama ada Sukma 2026 diteruskan mengikut jadual atau ditangguhkan akan ditentukan oleh Jawatankuasa Tertinggi Sukma selepas meneliti semua pandangan serta faktor berkaitan. – KOSMO! ONLINE














