KUALA LUMPUR – Beberapa jalan utama di sekitar pusat bandar dilaporkan mengalami masalah air bertakung susulan hujan berterusan sejak pagi tadi.
Menerusi hantaran di Facebook, Pusat Kawalan Kuala Lumpur (KLCCC) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan keadaan cuaca hujan menyebabkan takungan air di beberapa lokasi sekali gus menjejaskan aliran trafik.
Menurut kenyataan itu, antara kawasan terjejas termasuk Jalan Ampang Hilir melibatkan laluan di hadapan Kedutaan Arab Saudi.
Selain itu, air bertakung turut dilaporkan di Jalan Kuching berhampiran Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) menghala ke Bulatan Segambut.
“Anggota polis trafik dan warden trafik telah berada di lokasi bagi mengawal keadaan,” menurut hantaran itu.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya lebih berhati-hati ketika memandu serta merancang perjalanan bagi mengelakkan laluan yang terjejas. – KOSMO! ONLINE














