KANGAR – Seorang lelaki terkejut apabila menemui satu bungkusan guni reput yang disyaki mengandungi rangka manusia di kebunnya di hadapan sebuah kilang di Behor Mali, di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd. Yusop berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan itu pada pukul 10.48 pagi.
“Pengadu yang merupakan seorang lelaki tempatan memaklumkan terlihat satu bungkusan guni ketika sedang menjalankan kerja meracun di kebunnya kira-kira pukul 10.20 pagi.
“Pemeriksaan awal mendapati bungkusan berkenaan sudah reput dan disyaki mengandungi rangka manusia,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Yusharifuddin, sebaik menerima maklumat berkaitan, sepasukan anggota bergegas ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan serta mendapatkan bukti lanjut berhubung kejadian.
“Bungkusan serta bahan yang ditemukan di lokasi diambil sebagai barang kes untuk pemeriksaan lanjut. Barang kes itu akan dihantar ke unit forensik bagi menentukan sama ada ia benar-benar tulang manusia,” ujarnya.
Katanya lagi, kes berkenaan belum diklasifikasikan dalam mana-mana kategori kerana siasatan masih lagi berjalan untuk mendapatkan petunjuk seterusnya. – KOSMO! ONLINE














