SHAH ALAM – Masalah banjir yang terus menghantui penduduk negeri ini hanya dapat diselesaikan dalam tempoh empat tahun lagi susulan Projek Mitigasi Banjir negeri itu masih berjalan dan belum siap sepenuhnya.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir. Izham Hashim berkata, beberapa kerja pembesaran serta pendalamkan sungai masih giat dilaksanakan dan memerlukan masa sebelum memberi kesan menyeluruh.
“Masalah banjir ini tidak boleh diselesaikan dalam tempoh singkat seperti sebulan atau tiga bulan. Proses membesarkan sungai dan menyediakan reka bentuk pelan mengambil masa serta perlu mematuhi prosedur ditetapkan.
“Jadi, memang tidak boleh disiapkan dengan cepat,” katanya pada sidang akhbar di lobi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.
Menurut beliau, Selangor turut mengguna pakai teknologi pengurusan air moden dari Belanda, China dan Jerman, namun keberkesanannya terhad berikutan faktor taburan hujan tinggi serta pembangunan pesat di negeri itu.
Katanya, perbezaan ketara dapat dilihat apabila Belanda hanya menerima taburan hujan sekitar 700 hingga 900 milimeter (mm) setahun berbanding Selangor yang mencecah hampir 3,000 mm.
“Walaupun kita guna teknologi dari luar negara, kita kena realistik. Struktur tanah, kepadatan pembangunan dan jumlah hujan kita jauh berbeza. Paling penting bukan sekadar ambil teknologi, tetapi bagaimana kita sesuaikan dengan keadaan sebenar di Selangor,” jelasnya.
Tegasnya, pelaksanaan projek tebatan banjir tidak sama bagi setiap kawasan kerana ia bergantung kepada beberapa proses termasuk aspek teknikal seperti reka bentuk serta kajian hidrologi.
“Ada yang akan siap tahun depan dan ada yang ambil masa sehingga empat tahun. Jika projek itu siap di sesuatu kawasan, maka isu banjir di kawasan berkenaan dapat diselesaikan,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan, Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi menzahirkan teguran keras terhadap kerajaan negeri berhubung isu banjir yang masih gagal ditangani secara berkesan meskipun pelbagai nasihat telah diberikan sebelum ini. – KOSMO! ONLINE














