fbpx
SEBAGAI bapa dan tulang belakang karier Shila Amzah, ND Lala bangga melihat kejayaan dikecapi anaknya itu termasuk di China.

‘Saya bangga dengan kejayaan Shila, usaha kerasnya berbaloi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Usaha keras berbaloi, penyanyi Datuk ND Lala meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian anak sulungnya, Shila Amzah yang terus meledak di China apabila konsert jelajahnya di negara itu mendapat sambutan luar biasa hingga tiket habis terjual, baru-baru ini.

Ujar ND Lala atau nama sebenarnya Amir Amzah Salleh, 65, kejayaan tersebut hasil gabungan bakat, usaha dan disiplin tinggi dimiliki Shila sepanjang bergelar anak seni.

“Saya bangga dengan kerjaya Shila. Syukur, segala penat lelah dan usaha kerasnya membuahkan hasil.

“Dalam industri ini, ada beberapa perkara penting untuk berjaya. Pertama ialah bakat. Bakat kurniaan Allah dan tidak boleh dibeli.

“Kedua ialah kesungguhan. Kalau ada bakat tetapi tidak rajin atau tiada disiplin untuk mengasahnya, memang sukar untuk pergi jauh,” katanya kepada Kosmo! Online.

Tambah pelantun lagu Syair Cak Pong itu, sebagai bapa dan individu dalam industri seni, dia hanya memainkan peranan sebagai pembimbing sejak anaknya kecil.

“Saya hanya membimbing dan melatih sejak usia empat tahun setengah.

“Kalau dia tidak mahu berusaha, walaupun dipaksa, dia tidak akan sampai ke tahap ini,” ujarnya.

Mengimbau permulaan karier, bapa empat anak itu berkata, dia sendiri berusaha membuka peluang apabila banyak syarikat rakaman menolak bakat Shila.

“Elemen ketiga ialah peluang. Dulu saya sendiri cipta peluang untuk Shila. Saya bawa demo ke banyak syarikat rakaman, tetapi semuanya menolak.

“Mereka kata Shila berbakat, tetapi ‘tidak boleh dijual’. Jadi saya gunakan duit sendiri, termasuk membuat pinjaman untuk menghasilkan album pertamanya.

“Waktu itu dia belum dikenali walaupun sudah ada album. Perjalanan dia panjang dan memerlukan kesabaran. Saya bersyukur melihat dia berada di tahap ini hari ini,” luahnya.

Paling penting kata ND Lala, perancangan membawa Shila ke pasaran China telah disusun sejak 2012 dan bukanlah berlaku secara kebetulan mahupun tiba-tiba.

“Persiapan ambil masa beberapa tahun. Saya nampak potensi besar di China.

“Shila pernah tanya kenapa China jika mahu jadi artis antarabangsa. Saya jelaskan, pasaran di sana sangat besar dan mempunyai potensi yang luar biasa.

“Saya bersyukur melihat dia berada di tahap ini hari ini. Semua ini hasil usaha, doa dan kesabaran yang panjang. Alhamdulillah, hari ini dia berjaya buktikan kemampuan,” ujarnya.

Terdahulu, konsert jelajah Shila di beberapa bandar China termasuk Chengdu, Guangzhou, Shanghai dan Nanjing habis dijual dalam tempoh singkat.

Sambutan itu turut mendorong perancangan menambah tarikh konsert selepas Jun selain Shila bakal mengadakan konsert solo di Malaysia pada 9 Mei ini. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN