TANJUNG MALIM – Kegembiraan terserlah pada wajah 10 orang kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris yang terpilih menunaikan ibadah haji pada tahun ini apabila menerima sumbangan sebanyak RM2,500 seorang.
Menurut Naib Canselor UPSI, Prof. Datuk Dr. Md. Amin Md. Taff, sumbangan Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI itu sebagai tanda sokongan dan keprihatinan universiti tersebut.
“Seramai 10 orang jemaah haji telah menerima sumbangan sebanyak RM2,500 sebagai saguhati sebagai simbol keperihatinan UPSI dalam menjaga kebajikan dan mengukuhkan ikatan kekeluargaan kakitangan.
“Ini juga sebagai dorongan dalam melaksanakan rukun Islam kelima dengan lebih sempurna,” katanya.
Beliau berkata sedemikian pada majlis Sesi Serahan Sumbangan kepada Jemaah Haji UPSI bagi tahun 2026 di Bangunan Canselori, UPSI, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah di Tanjung Malim hari ini.
Md. Amin turut menyampaikan pesanan dan perkongsian kepada para jemaah haji agar sentiasa menjaga adab, kesihatan serta memanfaatkan peluang beribadah di Tanah Suci dengan sebaiknya.
Beliau berharap kesemua mereka akan memperoleh keberkatan dan barakah yang berpanjangan walaupun setelah kembali ke tanah air. – KOSMO! ONLINE














