fbpx
Tertuduh-tertuduh ketika dibawa ke mahkamah pada minggu lalu.

Rusuh pusat hiburan: 33 lelaki terkedu ditambah hukuman penjara 10 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seramai 33 lelaki yang didenda kerana terlibat dalam kejadian rusuhan di sebuah pusat hiburan di Cheras menjalani hukuman lebih berat apabila Mahkamah Tinggi di sini hari ini memerintahkan mereka dipenjara selama 10 bulan.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin memutuskan demikian pada prosiding semakan keputusan Mahkamah Majistret yang sebelum ini menjatuhkan hukuman denda ke atas kesemua 33 lelaki tersebut yang mengaku bersalah atas tuduhan itu minggu lalu.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara tersebut berjalan bermula hari ini.

Mereka ialah Tan Chee Chin, G. Bathmanathan, M. Kogilan, Lim Puay Fei, Kevin Yong Kai Wen, Ong Zhi Jian, Looi Khai Xuan, Voison Chor, Tan Jun Ning, Hee Tuck Choy, Ching Thong Hai, Kee Jin Xuan, Lim Teong Yow, Chan Kuang Man dan Ho Chee Seong.

Tertuduh lain ialah Wong Chee Siong, Liang Chung Weng, G. Srikanth, Lee Ming Choong, Wong Wai Khuen, Khor Ka Lok, Ong Zheng Yuan, Yam Hao Jie, Lim Jia Cheng, Chai Chun You, Kher Kuan Heng, Ong Aik Chim, Chong Khai Jun, Hadzrin Julasrin, Lee Tuck Wah dan Chin Chin Chung.

Kesemua mereka berusia 21 hingga 57 tahun. Dua lagi tertuduh iaitu Alvin Yong Kai Zhe dan Chong Yu Heng masing-masing berusia 19 tahun.

Bagaimanapun seorang lagi lelaki, A. Ganesan tidak hadir ke mahkamah hari ini dan dikenakan waran tangkap.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menyertai rusuhan dan memiliki senjata api, peluru, bahan letupan, kayu serta batu yang boleh digunakan untuk menyerang dan menyebabkan melecur serta kecederaan.

Kesalahan dilakukan di sebuah pusat karaoke di Cheras, di sini pada pukul 7.30 malam, 5 April lalu mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Kuala Lumpur, Datuk Mohd. Nordin Ismail, manakala tertuduh-tertuduh diwakili peguam Damien Chan, Ian Hannibal Liang, Ng Choon Kiat dan Ahmad Nur Zharif Rosdi.

Minggu lalu, Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda RM3,000 terhadap 32 lelaki berusia 21 hingga 57 tahun dan M2,000 terhadap dua tertuduh berusia 19 tahun selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan merusuh.

Sebelum ini, media melaporkan perselisihan faham antara seteru perniagaan dan dendam peribadi dipercayai menjadi motif kejadian khianat dan rusuhan membabitkan lebih 60 individu di sebuah pusat hiburan karaoke.

Susulan kejadian itu, polis memberkas 45 individu termasuk dua pelajar sekolah berusia 14 hingga 57 tahun. Mereka ditangkap secara berasingan di dalam dan luar Lembah Klang.

Sebelum ini tular rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) memaparkan sekumpulan individu membawa objek dipercayai kayu besbol menceroboh sebuah pusat hiburan dan melakukan khianat. Dalam kejadian itu, sebuah lori turut digunakan untuk merempuh pagar premis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN