fbpx
Nordin menunjukkan sebahagian koleksi batik lukis tangan yang dihasilkan sendiri ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tasik, Setiu semalam.

Nordin ‘benteng’ terakhir batik lukis tradisional

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIU – Seorang pengusaha kraf dari Kampung Tasik di sini terus komited memperjuangkan seni pembuatan batik lukis tradisio­nal Terengganu yang diusahakannya sejak lebih 40 tahun lalu.

Nordin Chik, 59, juga percaya bahawa dia merupakan satu-satunya pengusaha batik lukisan tangan yang masih aktif di ­daerah ini dan tekad untuk terus mempertahankan seni warisan Terengganu tersebut sehingga ke akhir hayatnya.

“Saya mula mempelajari seni pembuatan batik lukis tangan di Perbadanan Kemajuan Krafta­ngan Malaysia Cawangan Terengganu, Kuala Terengganu ketika berusia 19 tahun pada tahun 1985.

“Selepas tamat pengajian, saya terus menimba ilmu dan mencari pengalaman dengan beberapa pengusaha batik lukis tangan selama dua tahun,” kata­nya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tasik, semalam.

Menurut bapa kepada lapan orang anak itu, dia kemudiannya memberanikan diri untuk me­ngusahakan perniagaan batik lukis tangan di kampung halamannya pada lewat tahun 1980-an.

Sepanjang penglibatannya, beliau telah menghasilkan lebih 5,000 rekaan batik lukis tangan dan kesemua produk tersebut mendapat sambutan menggalakkan daripada peminat seni fabrik di seluruh negara.

“Berbeza dengan batik cetak yang proses pembuatannya lebih cepat dan menjimatkan kos, seni batik lukis tangan memerlukan penelitian yang tinggi serta tenaga kudrat yang optimum.

“Biasanya, saya hanya mampu menyiapkan maksimum dua pasang batik lukis dalam sehari menggunakan lapan meter kain,” kata beliau.

Nordin menambah, kesemua rekaannya dihasilkan dengan corak yang berbeza berdasarkan daya imaginasi sendiri serta mengikut kehendak pelanggan.

Sehingga kini, corak berasaskan motif flora (bunga) kekal menjadi pilihan utama para pelanggan untuk dilakar pada kain batik tersebut.

“Saya menjual sepasang batik lukis tangan pada harga antara RM120 hingga RM250 bergantung pada jenis corak dan material kain yang digunakan.

“Memang tidak dinafikan batik lukis tangan lebih mahal berbanding batik cetak. Namun, selain nilai keunikan coraknya, kualiti kainnya juga mampu bertahan lama tanpa luntur warna­nya walaupun sudah menjangkau puluhan tahun,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN