IMPIAN bakal menjadi realiti dan tidak semua penyanyi mampu melakukannya, sebuah konsert tradisional berskala mega di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Itu sebuah lagi sejarah yang bakal tercatat dalam kamus kerjaya seni Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi konsert Gema Bumantara pada 17 Oktober depan.
Bukan sekadar impian yang sudah tersimpan lama, Biduanita Negara itu meletakkan Gema Bumantara sebagai salah satu perjuangannya untuk irama tradisional.
“Sebenarnya saya juga gemuruh tetapi dalam masa sama, sangat teruja sebab sudah lama pasang impian buat konsert tradisional terbesar.
“Bakal berlangsung di lokasi berkapasiti besar, saya percaya rakyat Malaysia akan lebih teruja sebab siapa yang tidak bangga apabila lagu tradisional bergema di Stadium Nasional Bukit Jalil.
“Harap konsert ini boleh mencetuskan sesuatu yang membanggakan. Apa yang bakal saya persembahkan nanti bukan sahaja untuk orang Melayu tetapi juga Cina, India dan kaum lain. Kalau boleh nak mereka datang ramai-ramai,” katanya kepada HibGlam.
Ujar Siti lagi, dia menggunakan nama Gema Bumantara kerana membawa maksud yang cukup besar dan meliputi pelbagai elemen.
“Gema Bumantara ada maksud yang sangat besar. Saya mahu lagu-lagu tradisional bergema di seluruh Nusantara dan terbang jauh di peringkat global.
“Insya-Allah saya akan pastikan persembahan pada malam itu menepati cita rasa pembeli tiket dan meninggalkan impak kepada peminat,” kata ibu kepada sepasang cahaya mata itu.
Jelasnya, dia mahu konsert tersebut menjadi sesuatu yang boleh dibanggakan sepanjang kembara seninya.
“Saya rasa kita ada kekuatan jati diri menerusi muzik tradisional.
“Jadi, marilah kita meraikan muzik Nusantara di konsert saya dan tunjukkan kepada dunia betapa hebatnya irama tradisional kita,” jelasnya.
Berkongsi mengenai persiapan secara fizikal dan mental, Siti memaklumkan latihan akan dimulakan dalam masa terdekat.
Katanya, memandangkan konsert tradisional melibatkan pelbagai jenis tarian, rutin latihan yang ketat sangat diperlukan bagi menguatkan stamina.
“Saya akan mulakan sesi latihan tidak lama lagi dan kali ini lebih ‘intense’ termasuk melakukan sukan kegemaran iaitu Muay Thai.
“Kali ini akan ada macam-macam tarian tradisional sebab itu latihan perlu dilakukan lebih awal.
“Bukan sahaja tarian, vokal juga perlu dimantapkan kerana saya mungkin mendedangkan 30 hingga 40 lagu. Sangat banyak,” tuturnya.
Ditanya sama ada bakal membuat kejutan seperti aksi ‘terbang’ yang dilakukannya ketika konsert Legacy 30 pada Januari lalu, Siti enggan berkongsi secara terperinci kerana belum diputuskan secara rasmi.
“Kalau cakap pasal gimik, belum boleh bercerita, itu semua rahsia dan belum buat apa-apa lagi.
“Namun,saya harap penonton rasa berbaloi dengan wang yang dilaburkan untuk beli tiket konsert tersebut, saya tidak akan hampakan mereka,” ujarnya.

Lagu Mandarin
Penyanyi kesayangan ramai itu juga melakar sebuah lagi memori indah apabila meluncurkan lagu Bahasa Mandarin penuh pertama berjudul Be Like Water duet bersama penyanyi dan pencipta lagu, Firdhaus.
Lebih istimewa, karya tersebut bukan sekadar kolaborasi sulung mereka, malah diangkat sebagai lagu tema rasmi tanggungjawab sosial korporat (CSR) CUCKOO Malaysia menerusi projek CUCKOO Loves, Cares.
Bercerita mengenai proses latihan menghafal lagu selain bahasa Melayu, dia berterima kasih kepada Firdhaus dan Ketua Pegawai Eksekutif CUCKOO Malaysia, Hoe Kian Choon (KC Hoe) kerana banyak membantu terutama spek sebutan.
“Sampai sekarang masih menghafal. Sepanjang tempoh rakaman, Firdhaus, KC Hoe dan isterinya banyak tolong ajar saya dan bersabar dalam studio. Hampir tiga jam jugalah untuk siapkan proses rakaman vokal,” tuturnya lagi.
Sambung Siti, Be Like Water membawa mesej yang sangat kuat dan mampu menenangkan jiwa pendengar.
“Lirik lagu ini mampu memberi rasa damai dalam diri terutama pada zaman sekarang, ramai dalam kalangan kita mengalami stres dan masalah kesihatan mental.
“Be Like Water mampu memberi motivasi kepada diri sendiri untuk menjadi individu lebih tenang menghadapi pelbagai cabaran mendatang.
“Kita perlu jadi seperti air yang tidak melawan arus, sentiasa ikut keadaan tetapi dalam masa sama sangat kuat dalam mengharungi apa sahaja.
“Semoga Be Like Water dapat pergi lebih jauh, ditambah dengan pengaruh besar Firdhaus yang sangat popular dan mempunyai ramai peminat di China,” akhirinya.















