CAPE Verde hampir mencipta salah satu kejutan terbesar di Piala Dunia 2026 apabila muncul sebagai calon giant killer selepas memberi tentangan sengit kepada juara bertahan Argentina sebelum tewas 2-3 pada pusingan 32 terbaik.
Lebih mengagumkan, Blue Sharks mengekalkan rekod tanpa kekalahan di peringkat kumpulan membuktikan penampilan sulung mereka di edisi kali ini bukan sekadar pelengkap di pentas dunia.
Kejayaan pasukan kecil dari luar pantai barat Afrika itu menimbulkan satu persoalan besar, iaitu apakah formula digunakan Cape Verde boleh menjadi rujukan buat negara yang masih mencari jalan menembusi pentas Piala Dunia?
Ini kerana, Cape Verde turut membina kekuatan skuad kebangsaan menerusi gabungan pemain diaspora yang mempunyai pertalian darah dengan negara itu serta pemain tempatan, iaitu pendekatan yang mempunyai persamaan dengan langkah Malaysia menggunakan pemain warisan bagi memperkukuh pasukan negara.
Menurut penganalisis dan pemerhati sukan, Datuk Dr. Pekan Ramli, kejayaan pendekatan itu bergantung kepada bagaimana ia disepadukan dengan pembangunan pemain tempatan.
“Kalau kita tengok Cape Verde, mereka merupakan negara mempunyai populasi kecil. Oleh itu, mereka banyak memanfaatkan pemain diaspora mempunyai pertalian darah dengan negara itu.
“Mereka mengenal pasti pemain yang lahir dan mendapat latihan di Eropah, khususnya menerusi kelab-kelab di Portugal dan Belanda.
“Namun, pemain diaspora bukan satu-satunya faktor kerana mereka tetap memerlukan pembangunan pemain tempatan. Mereka tidak boleh hanya bergantung kepada pemain diaspora kerana pendekatan itu tidak akan bertahan lama,” katanya kepada Kosmo!.
Katanya, perkara itu berkait rapat dengan tahap liga tempatan perlu diperkasakan bagi melahirkan pemain berkualiti tinggi dan mampu bersaing di peringkat tinggi.
Beliau berkata, pembangunan akar umbi dan kualiti liga tempatan perlu diberi perhatian supaya akademi dapat melahirkan pemain bertaraf tinggi yang berpotensi mendapat tempat di kelab luar negara.
Malah, beliau mengingatkan sasaran Malaysia untuk menembusi Piala Dunia masih jauh sekiranya tiada perubahan besar dalam pengurusan bola sepak negara.
“Kita nak hantar pemain ke Eropah, tetapi kualiti pemain kita belum sampai tahap diperlukan. Malah, untuk bermain di liga ASEAN pun tidak ramai berjaya, apatah lagi di liga lebih tinggi standardnya.
“Kalau pengurusan persatuan seperti sekarang tidak berubah, jangan bermimpi untuk layak ke Piala Dunia. Dua dekad pun belum tentu, mungkin tiga dekad lagi masih belum dapat lihat,” katanya.
Menurut Pekan, Jepun menerusi Japan Football Association (JFA) dan J.League, serta Korea Selatan melalui Korea Football Association (KFA), aktif menjalin kerjasama pembangunan bola sepak dengan negara-negara ASEAN merangkumi perkongsian kepakaran, pembangunan jurulatih, pemain dan pentadbiran bola sepak.
Pembinaan pemain tempatan berkualiti penting supaya peluang mendapatkan pendedahan daripada negara bola sepak lebih maju dapat dimanfaatkan sepenuhnya.














