fbpx
KONSERT Kelate Ke KL 2026 bukan hanya untuk orang Pantai Timur sebaliknya satu pesta meraihkan seluruh rakyat Malaysia.

Kelate ke KL 2026, giliran ‘sek kito’ mari berkonsert

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BUNYI rebana bakal bersahut dengan dentuman muzik moden, loghat Pantai Timur dijangka menguasai pentas ibu kota dalam sebuah malam penuh warna.

Jika selama ini hanya bergema di bumi Serambi Mekah, kini bersedia memecahkan sempadan apabila roh seni, budaya dan jiwa anak Kelantan dibawa megah ke ibu kota menerusi Konsert Kelate Ke KL 2026.

Mengangkat tema ‘Suaro Kito, Jiwo Kito – 100% Ori Kelate’, konsert mega anjuran Natriya Enterprise, IRAMA Entertainment dan Ikarl Project itu bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 29 Ogos ini, sekali gus menghimpunkan barisan penyanyi kebanggaan negeri Cik Siti Wan

Kembang dalam sebuah persembahan sarat identiti, nostalgia dan semangat anak rantau.

Lebih mengujakan, konsert itu membariskan nama-nama cukup signifikan dalam landskap muzik Kelantan seperti Eda Ezrin, Rosalinda, Adik Waniey, Man Khan, Den Manjo, Fendi Kenali dan Aris Kapilla.

Kehadiran mereka bukan sahaja menghiburkan peminat, bahkan membuktikan seni dialek Kelantan terus subur dan relevan merentas generasi.

Pemilihan barisan artis turut disifatkan sebagai usaha mengangkat warisan budaya negeri agar terus hidup di pentas arus perdana.

Menurut Pengarah Projek Konsert Kelate Ke KL 2026, Ayob Abd. Majid, penganjuran tersebut bukan bersifat kenegerian, sebaliknya sebuah platform meraikan identiti, seni dan budaya Kelantan selain menghimpunkan anak-anak rantau serta pencinta muzik Pantai Timur dari seluruh negara.

“Penganjuran Konsert Kelate Ke KL 2026 bukan bersifat kenegerian, sebaliknya meraikan identiti, seni dan budaya Kelantan yang banyak menyumbang kepada industri hiburan serta pelancongan negara dengan cara tersendiri.

“Selain memiliki penyanyi komersial seperti Datuk Nora dan Misha Omar, Kelantan juga mempunyai pejuang seni berloghat tempatan yang sentiasa dekat di hati peminat.

“Atas sebab itu, kami mengambil inisiatif membawa Eda Ezrin, Rosalinda, Adik Waniey, Man Khan, Den Manjo, Fendi Kenali dan Aris Kapilla sebagai ‘sek kito jange pecoh’ ke ibu kota khas buat anak-anak rantau Kelantan dan seluruh pencinta muzik tanah air,” katanya kepada HibGlam.

Ayob, yang juga Presiden Konsortium Industri Rakaman Music Malaysia (IRAMA), berkata, konsert itu turut membuka ruang lebih luas kepada penyanyi wanita Kelantan mengembangkan kerjaya memandangkan peluang membuat persembahan di negeri sendiri agak terhad.

“Kita jarang dapat bawa artis wanita membuat persembahan di Kelantan. Malah, penyanyi wanita dari Kelantan sendiri tidak mempunyai ruang membuat persembahan di negeri sendiri.

“Jadi saya berasakan mereka perlu dibawa keluar ke Kuala Lumpur, bukan hanya untuk masyarakat Kelantan, malah seluruh rakyat Malaysia.

EDA Ezrin dan Den Manjo bakal menghiburkan peminat dengan lagu duet berhantu mereka menjelang konsert nanti. – AMIR KHALID

Luar biasa

“Alhamdulillah mereka memberikan respons sangat baik kerana percaya bakat yang dimiliki mampu berkembang jauh di luar negeri,” jelasnya ketika sidang media konsert tersebut.

Tambahnya, penerimaan masyarakat terhadap penyanyi Kelantan kini semakin memberangsangkan apabila mereka mula menerima jemputan mengadakan persembahan di seluruh tanah air.

“Hari ini kita boleh lihat mereka sudah mula menjelajah ke seluruh negara.

“Persembahan mereka di Angsana Johor Bahru baru-baru ini menerima sambutan luar biasa apabila kawasan tersebut dipenuhi pengunjung.

“Perkara ini membuktikan muzik Kelantan kini semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia,” ujarnya.

Sementara itu, penyanyi Adik Waniey mengakui peluang membuat persembahan di Zepp Kuala Lumpur (KL) menjadi detik cukup bermakna dalam perjalanan seninya.

“Saya sangat bangga kerana diberi peluang menjayakan persembahan di Kuala Lumpur. Di Kelantan memang agak sukar mencari rezeki melalui bidang nyanyian.

“Saya juga berdebar dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi peluang untuk saya beraksi pada 29 Ogos nanti,” luahnya.

Bagi Rosalinda, peluang tersebut ibarat membuka pintu baharu buat penyanyi wanita Kelantan untuk berdiri di pentas lebih besar.

“Saya sangat bersyukur kerana diberi peluang ini. Di Kelantan, penyanyi wanita biasanya hanya membuat persembahan di majlis perkahwinan atau lokasi tertutup.

“Malah persembahan tersebut juga hanya untuk penonton wanita. Jadi saya amat bersyukur akhirnya diberi peluang beraksi di Zepp KL,” jelasnya.

Dalam masa sama, Ayob berkata pemilihan semua artis terbabit dibuat berdasarkan pengaruh besar mereka dalam memastikan seni warisan Kelantan terus hidup dan diminati generasi hari ini.

Dia turut memberi bayangan bahawa pihak penganjur bakal mengumumkan beberapa kejutan menarik termasuk penampilan khas, pengisian kebudayaan serta pelbagai elemen eksklusif menjelang hari konsert.

“Konsert Kelate Ke KL 2026 bukan hanya untuk orang Kelantan, ini pesta buat seluruh rakyat Malaysia bagi meraikan kepelbagaian seni , khususnya kesenian Kelantan yang begitu unik dan penuh identiti,” tutupnya.

Tiket Konsert Kelate Ke KL 2026 mula dijual sejak 4 Julai. Tempahan boleh dibuat secara dalam talian menerusi ilassotickets.com atau WhatsApp (011-1329 7822).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN