KOTA BHARU – Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dabong bagi penggal 2013 hingga 2018 daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Ramzi Ab. Rahman meninggal dunia awal pagi tadi.
Allahyarham yang juga merupakan bekas Ketua UMNO Bahagian Kuala Krai menghembuskan nafas terakhir di rumahnya di Kubang Batang dekat Tumpat kira-kira pukul 2.40 pagi.
Jenazah Allahyarham akan disolat di Masjid Ar-Rahman, Kubang Batang pada pukul 11 pagi ini.
Maklumat mengenai punca kematian arwah masih belum dapat disahkan lagi.
Sementara itu, Pengerusi UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakob menyifatkan Allahyarham merupakan seorang pemimpin yang banyak berjasa kepada agama, bangsa dan tanah air, khususnya dalam memperjuangkan nasib masyarakat luar bandar.
Katanya, segala khidmat bakti, komitmen dan pengorbanan yang ditaburkan oleh Allahyarham akan terus dikenang.
“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa Allahyarham, melimpahkan rahmatNya, menerima segala amal kebajikan yang telah dilakukan serta menempatkan roh Allahyarham dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-13, Allahyarham memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri Dabong selepas menewaskan calon Pas, Ku Zaki Ku Hussain dengan majoriti 229 undi.
Ramzi memperoleh 4,612 undi manakala Ku Zaki 4,383 undi. – KOSMO! ONLINE














