KEJAYAAN Arsenal menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris musim ini mengimbau kembali kenangan istimewa saya ketika mengembara secara solo ke Azerbaijan beberapa tahun lalu.
Pada asalnya, tujuan utama perjalanan itu adalah untuk menyaksikan Arsenal beraksi dalam final Liga Europa di Baku. Namun, selepas bertahun-tahun berlalu, apa yang paling kekal dalam ingatan bukanlah perlawanan bola sepak tersebut, sebaliknya pengalaman mengunjungi sebuah perkampungan terpencil bernama Khinaliq.
Terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari ibu negara Baku, Khinaliq berada pada ketinggian sekitar 2,400 meter dari aras laut di Pergunungan Greater Caucasus.
Perjalanan menuju ke sana sudah menjadi satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan. Jalan yang berliku-liku merentasi lereng gunung menawarkan pemandangan menakjubkan.
Namun pada masa sama cukup mencabar, terutama apabila memasuki laluan sempit yang diapit gunung tinggi di sebelah kiri dan gaung curam di sisi kanan.
Setibanya di Khinaliq, saya seolah-olah melangkah ke dunia yang berbeza. Kampung purba yang menjadi antara penempatan tertinggi di rantau Caucasus itu kelihatan tenang dan jauh daripada kesibukan kehidupan moden. Walaupun saya berkunjung pada bulan Mei, namun suhu ketika itu hanya sekitar tujuh darjah Celsius, manakala puncak gunung di sekelilingnya masih dilitupi salji putih.
Salah satu pengalaman paling menarik adalah menikmati makan tengah hari di rumah penduduk tempatan. Berbeza dengan destinasi pelancongan lain yang dipenuhi restoran dan kafe, Khinaliq menawarkan pengalaman yang lebih peribadi apabila pelawat dijemput menjamu selera bersama keluarga tempatan.

Hidangan disajikan cukup sederhana tetapi menyelerakan, antaranya ayam tradisional Azerbaijan, roti dibakar menggunakan kaedah tradisional, keju biri-biri, sup sayur dan pelbagai makanan tempatan lain.
Selepas makan, tuan rumah menghidangkan teh panas bersama jem ceri, madu dan gula-gula.
Cara menikmatinya agak unik apabila manisan dimasukkan ke dalam mulut terlebih dahulu sebelum teh dihirup perlahan-lahan. Pengalaman kecil seperti ini memberikan gambaran tentang budaya dan cara hidup masyarakat setempat. Walaupun terdapat kekangan bahasa, namun keramahan penduduk kampung dapat dirasai.
Mereka berkongsi cerita tentang kehidupan di kawasan pergunungan yang berdepan musim sejuk panjang dan mencabar. Saya turut mengetahui bagaimana sebahagian penduduk masih menggunakan bahan api tradisional yang diperbuat daripada najis haiwan dikeringkan untuk memanaskan rumah serta memasak ketika musim sejuk.

Selesai menjamu selera, saya berjalan mengelilingi kampung untuk melihat sendiri kehidupan harian masyarakat Khinaliq. Kanak-kanak bermain di lereng bukit tanpa menghiraukan cuaca dingin, manakala golongan wanita sibuk menguruskan kerja rumah dan menyediakan makanan untuk keluarga.
Suasana yang sederhana dan damai itu memberikan pengalaman yang sukar ditemui di bandar-bandar besar.
Apa yang menjadikan Khinaliq lebih menarik adalah identitinya yang unik. Penduduk di sini masih menggunakan bahasa Khinaliq, bahasa kuno yang berbeza daripada bahasa Azerbaijan.
Mereka juga sangat menjaga warisan budaya dan sejarah komuniti yang telah wujud sejak berabad-abad lamanya. Selepas hampir empat jam berada di sana, tibalah masa untuk kembali ke Baku. Namun, hati terasa amat berat untuk meninggalkan perkampungan itu.















