fbpx
Keadaan sebuah kereta yang remuk selepas dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Tun Razak yang mengorbankan seorang lelaki.

Lelaki maut dihempap pokok tumbang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut manakala tujuh sekeluarga menerima rawatan di hospital selepas dua kenderaan yang dinaiki mereka dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Tun Razak berhampiran Kedutaan Singapura di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu kira-kira pukul 10.20 malam.

Menurut beliau, siasatan awal mendapati pokok berkenaan menghempap dua kenderaan iaitu sebuah Honda Accord dan Perodua Bezza yang dinaiki lapan mangsa.

“Kereta Honda Accord yang dipandu seorang lelaki berusia 43 tahun mengalami kerosakan teruk selepas dihempap pokok.

“Mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada pukul 4 pagi tadi akibat kecederaan yang dialami,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sebuah lagi Perodua Bezza dinaiki tujuh ahli keluarga terdiri daripada lima dewasa, seorang kanak-kanak berusia dua tahun dan seorang bayi berusia dua bulan.

“Kesemua mereka tidak mengalami kecederaan fizikal, namun masih menerima rawatan di HKL bagi pemeriksaan lanjut termasuk sinar-X untuk mengenal pasti sebarang kecederaan dalaman,” katanya.

Tambah beliau, kerja pembersihan dan pemotongan pokok oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur selesai kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.

“Kedua-dua kenderaan yang terlibat turut ditunda bagi melancarkan semula aliran trafik di Jalan Tun Razak,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN