SHAH ALAM – Kes tatatertib membabitkan anggota dan pegawai bomba menunjukkan trend penurunan apabila hanya 15 individu dikenakan tindakan dalam tempoh enam bulan tahun ini.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Nor Hisham Mohammad berkata, tindakan dilakukan atas pelbagai kesalahan antaranya tiga kes direkodkan masing-masing kerana tidak hadir bertugas, penyalahgunaan dadah dan ingkar perintah.
“Selain itu, jenayah kekerasan merekodkan dua kes) di samping satu kes bagi kesalahan seperti muflis, tidak jujur, jenayah syariah dan keldai akaun.
“Berbanding tahun lalu, seramai 36 anggota dan pegawai dikenakan tindakan tatatertib oleh Lembaga Disiplin JBPM,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Bicara Governans, Integriti dan Anti Rasuah (BiGAR) 2026, di sini hari ini.
Menurut beliau, daripada 15 individu yang dikenakan tindakan tahun ini menunjukan tujuh menerima amaran dan masing-masing tiga bagi penangguhan pergerakan gaji dan dibuang kerja serta dua lagi dilucutkan hak emolumen.
Nor Hisham berkata, setiap kes dinilai secara teliti bagi memastikan tindakan yang dikenakan adalah adil serta berasaskan bukti.
“Sebagai contoh, bagi kes jenayah syariah, tindakan tatatertib hanya diambil selepas Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman terhadap anggota terbabit.
“Jika tiada sabitan atau hukuman oleh mahkamah, kami tidak akan mengenakan tindakan tatatertib,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE.















