fbpx
MOHAMED KHALED beramah mesra dengan penduduk Kampung Sedili Besar, Kota Tinggi hari ini. Foto MASTURAH SURADI/KOSMO!

PRN Johor: Jangan biarkan Johor jadi ‘backyard’ Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – Johor berisiko bertukar menjadi sekadar ‘backyard’ atau halaman belakang kepada Singapura sekiranya pentadbiran negeri diserahkan kepada parti yang tidak berpengalaman dan langsung tiada manifesto pembangunan yang jelas.

​Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kedudukan geografi Johor yang sangat unik bersebelahan dengan negara itu menuntut sebuah pelan kemajuan yang agresif dan konkrit.

​Menurutnya, jurang ekonomi dan pembangunan antara Johor dengan Singapura tidak boleh dibiarkan terlalu besar kerana kegagalan memajukan negeri ini secara optimum bukan sahaja merugikan rakyat tempatan, malah akan turut merencatkan pertumbuhan ekonomi Malaysia secara keseluruhan.

​”Johor memang mesti maju sebab kita bersebelahan dengan Singapura. Kita tak boleh wujudkan satu jurang yang terlalu besar antara Johor dengan Singapura. Dan jika kita biarkan, maka Johor akan jadi
‘backyard’ Singapura.

“Jadi soalnya, Johor mesti dimajukan. Mesti dimajukan kerana kemajuan Johor itu… Johor berada pada kedudukan yang sangat unik kerana bersebelahan dengan Singapura. Jika tidak dimajukan, ia akan merencatkan kemajuan Malaysia.

“Malaysia ini terdiri daripada negeri-negeri, kawasan-kawasan. Kalau ada kawasan yang memang berpotensi tapi tak maju, ia akan merencatkan kemajuan Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas beramah mesra dengan penduduk Kampung Sedili Besar, di sini hari ini.

​Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, menguruskan sebuah negeri yang mempunyai kompleksiti tinggi seperti Johor memerlukan gandingan pemimpin veteran yang berpengalaman dan tenaga muda yang ada dalam UMNO Barisan Nasional (BN) bukannya pemimpin yang baru mahu belajar melangkah.

Katanya, komitmen tinggi parti itu jelas berbeza dengan Perikatan Nasional (PN), Parti Bersama Malaysia (Bersama) yang disifatkan langsung tidak mempunyai hala tuju pembelaan rakyat apabila bertanding tanpa manifesto dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

​”Malang bagi PN dan Bersama kerana tidak mempunyai manifesto. Kalau mereka menang, mereka hanya akan jadi jaguh bercakap tetapi rakyat yang diwakili tidak akan dapat apa-apa manfaat. Khidmat langsung tiada.

​”Takkanlah hari pertama masuk kerajaan baru hendak terkapai-kapai tidak tahu apa nak buat. Sebab itu gandingan ‘otai’ berpengalaman dan pemimpin muda dalam UMNO amat dituntut bagi menguruskan tadbir urus negeri,”katanya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN