BATU PAHAT – Visi ‘Berkhidmat Demi Senggarang’ menjadi asas perjuangan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Rashid Hasnon bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Menerusi tekad itu, Rashid berhasrat meneruskan kesinambungan perjuangannya membangunkan kawasan Senggarang ketika menjadi Ahli Parlimen Batu Pahat pada tahun 2018 hingga 2022 dengan DUN Senggarang, berada di bawah pentadbirannya.
Menurutnya, semua perkara berkaitan Senggarang masih dalam simpanannya dan ia akan digunakan bagi merancang dan mengurus kawasan ini sekiranya terpilih sebagai wakil rakyat kelak.
“Apa yang akan saya bawa adalah pembangunan yang terangkum kepada prasarana fizikal dan antaranya adalah kawasan di pesisir pantai berkisar kepada persoalan dasar.
“Susah senang penduduk di kawasan itu amat dirasai apabila semua tanaman yang diusahakan musnah akibat limpahan air laut ke dalam kebun akibat daripada tiada perancangan tersusun untuk mengatasinya secara total dan berkesan,”katanya kepada Kosmo!.
Menurut Rashid, perjuangan yang dibawanya tidak hanya akan tertumpu kepada satu-satu pihak sahaja namun turut merangkumi keperluan generasi baharu kerana kelompok ini bakal menjadi pewaris di kawasan Senggarang ini.
Untuk itu, ujarnya semua ini akan dilihat sewajarnya agar tiada pihak tanpa mengira bangsa, agama dan umur ketinggalan dalam perancangan pembangunan dan menerima manfaat hasil daripada perjuangannya kelak.
“Sejujurnya masih ramai masyarakat di Senggarang yang mengenali dan mengetahui cara saya bekerja sebelum ini, malah saya sentiasa sahaja bersama mereka dalam perjawatan disandang dalam parti,”katanya.
Untuk itu, ujarnya semua ini akan dilihat sewajarnya agar tiada pihak tanpa mengira bangsa, agama dan umur ketinggalan dalam perancangan pembangunan dan menerima manfaat hasil daripada perjuangannya kelak.
Rashid yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Batu Pahat mengambil langkah untuk kembali bertanding dalam PRN ke-16 setelah berehat sejak 2022 sebagai usaha meneruskan legasi perkhidmatannya dalam kawasan Senggarang.














