PETALING JAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) diarah supaya mengeluarkan saman terhadap petugas yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, saman boleh dikeluarkan kepada sesiapa sahaja yang didapati melanggar peraturan itu berdasarkan bukti rakaman video yang tular, tanpa mengira latar belakang politik.
Beliau menegaskan, Kementerian Pengangkutan Malaysia mengambil serius isu tular berkaitan sekumpulan petugas kempen Pakatan Harapan (PH), termasuk dari DAP, yang menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar semasa berkempen.
“Prinsip ini terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian, termasuk mereka yang terlibat dalam konvoi, calon dan petugas kempen PH di Johor.
“Undang-undang keselamatan jalan raya tidak mengenal parti politik,” katanya menerusi kenyataan di media sosial.
Menurut beliau, pendiriannya jelas dan konsisten sejak enam tahun lalu.
“Pendirian saya jelas dan konsisten sejak dahulu lagi. Ketika saya membangkitkan isu sama melibatkan pemimpin Barisan Nasional semasa kempen PRK Slim hampir enam tahun lalu, saya sudah tegaskan.
“Tidak salah menunggang motosikal semasa berkempen, tetapi setiap penunggang wajib memakai topi keledar dan menjadi contoh yang baik kepada rakyat,” ujarnya.
Tambah beliau, undang-undang mesti dikuatkuasakan secara adil dan saksama kepada semua rakyat Malaysia.
“Saya tidak akan berkompromi dengan prinsip ini walaupun ia melibatkan rakan sekempen sendiri.
“Keselamatan nyawa rakyat mendahului kepentingan politik mana-mana pihak,” tegasnya.
Terdahulu media melaporkan, Anthony Loke menjadi sasaran hasut maya (troll) dalam talian oleh pengkritik PH ketika kempen PRN Johor memasuki fasa akhir.
Keadaan itu tercetus selepas tular satu video memaparkan sekumpulan petugas kempen DAP menyertai konvoi motosikal dengan kenderaan mereka dihiasi bendera PH, namun ramai daripadanya didapati tidak memakai topi keledar. – KOSMO! ONLINE














