KUALA TERENGGANU – Kedai emas di sekitar bandar raya ini dan Kuala Nerus kembali dikerumuni orang ramai untuk menambah koleksi barangan kemas berikutan penurunan harga emas ketika ini.
Tinjauan Kosmo! semalam mendapati, barangan kemas terpakai atau ‘preloved’ lebih menjadi pilihan berbanding keluaran baharu disebabkan harga ‘preloved’ murah sedikit iaitu RM522 segram berbanding RM540 segram bagi koleksi baharu.
Trend tersebut menyebabkan rata-rata kedai emas di bandar raya ini dan Kuala Nerus mula melambakkan barangan kemas ‘preloved’ bagi memenuhi permintaan pelanggan terbabit.
Seorang peminat emas, Nurul Shafina Md. Nasir, 31, berkata, penurunan harga emas masa ini merupakan peluang terbaik kepadanya untuk membeli barangan kemas sebagai menambah koleksi.
“Saya pilih emas ‘preloved’ sebab harganya lebih mampu milik tetapi nilainya tetap meningkat untuk jangka panjang.
“Selain koleksi peribadi, saya menjadikan barangan kemas sebagai simpanan berguna di masa terdesak memerlukan wang tunai pada masa depan,” katanya.
Khatijah Ibrahim, 38, juga sependapat barangan kemas ‘preloved’ tetap berharga biarpun reka bentuknya mungkin sudah tidak mengikut arus semasa.
“Walaupun reka bentuknya agak lama, nilainya tetap sama, malah boleh dibeli dengan lebih murah.
“Tak kisahlah tidak ikut trend kerana tujuan utama saya membeli untuk pelaburan masa depan,” katanya.
Sementara itu, pengusaha kedai emas, Shaaini Md. Jumaat berkata, trend pembelian barangan kemas ‘preloved’ turut dipacu tawaran pengecualian caj upah berbanding yang baharu.
“Persepsi masyarakat terhadap barangan emas ‘preloved’ sudah banyak berubah. Mereka kini semakin celik ilmu pelaburan emas,” katanya.
Ujarnya, transaksi jual beli emas kini dilihat kekal aktif tanpa mengira turun naik nilainya di pasaran global.
Katanya, pembelian barangan emas meningkat sewaktu harga turun, manakala transaksi jualan semula menjadi pilihan apabila nilai pasarannya naik.
“Berdasarkan pengalaman dan analisis semasa, saya percaya penurunan ini hanya sementara. Harga emas akan kembali stabil, dijangka mampu melepasi sehingga RM800 segram menjelang akhir tahun ini,” katanya.














