PETALING JAYA – Tindakan seorang peniaga yang didakwa menghulurkan sate kepada pengguna jalan raya seolah-olah makanan percuma sebelum meminta bayaran RM20 mengundang perhatian ramai di media sosial.
Dakwaan itu tular selepas seorang pengguna Threads dikenali sebagai @nurazzalina_ berkongsi pengalamannya berhenti untuk mengambil makanan berkenaan kerana menyangka terdapat pihak sedang melakukan infak.
Menurut wanita itu, dia turut menyangka individu terbabit mahu memberikan makanan selepas melihat mereka menahan kenderaan, selain keadaan jalan ketika itu tidak terlalu sesak.
“Tiba-tiba dia kata, ‘Dik ambil dik, nanti bayar RM20 saja. Ambil, ambil. Nanti QR bayar RM20, kalau tak bayar tak apa, saya halalkan saja’.
“Saya tergamam sekejap dalam kereta, tidak tahu hendak beri reaksi apa sebab pak cik itu sudah menghulurkan makanan masuk menerusi tingkap kereta,” dakwanya menerusi hantaran tersebut.
Wanita itu mendakwa individu berkenaan turut mendesaknya mengambil makanan dengan segera atas alasan bimbang tindakannya menyebabkan kesesakan dan menimbulkan kemarahan pemandu lain.
Perkongsian berkenaan kemudian mendapat reaksi pengguna lain yang mendakwa pernah berdepan pengalaman hampir sama apabila makanan dihulurkan seperti pemberian percuma, namun bayaran diminta selepas ia diterima.
Seorang pengguna dikenali sebagai @maqbarshah, mendakwa dia pernah menerima sate daripada sebuah kenderaan ketika pulang berjoging kerana menyangka makanan berkenaan diberikan secara infak.
“Saya sudah pegang, baru tahu dia menjual rupanya. RM20 pula. Serba salah saya. Maka, makanlah saya selepas berjoging dengan rasa serba salah sebab terkena,” katanya.
Seorang lagi pengguna, @fatinshahirah mendakwa kejadian seumpama itu berlaku berhampiran sebuah masjid di Bandar Tun Razak dan individu terbabit dipercayai turut mendekati ibu bapa yang sedang mengambil anak dari sekolah.
Menurutnya, penjual berkenaan didakwa membuka pintu atau tingkap kenderaan sebelum menghulurkan sate secara tiba-tiba, menyebabkan penerima menyangka makanan tersebut diberikan secara percuma.-KOSMO! ONLINE.















