PETALING JAYA – Tahap populariti Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengatasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Dapatan kajian lapangan Ilham Centre itu merekodkan tahap populariti Onn Hafiz mencecah 79 peratus, berbanding Anwar yang mencatatkan 40 peratus dalam kalangan responden.
“Ia sekali gus menjadikan Onn Hafiz aset politik paling penting kepada Barisan Nasional (BN) sepanjang kempen. Walaupun kedua-duanya turun berkempen secara agresif sepanjang tempoh pilihan raya, pengundi cenderung menilai prestasi kerajaan negeri berbanding Kerajaan Persekutuan.
“BN lebih berjaya menyesuaikan kempen dengan karakter PRN melalui kerja kuat Onn Hafiz serta rekod pentadbiran kerajaan negeri yang mudah diterjemahkan kepada pengalaman harian rakyat,” kata ILHAM Centre.
Menurut ILHAM Centre, dalam ‘setting’ (tetapan) PRN, pertimbangan pengundi lebih bersifat lokal, dengan fokus terhadap siapa yang mentadbir Johor, keberkesanan pentadbiran negeri serta manfaat yang dirasai secara langsung oleh rakyat.
“BN dilihat mendahului dari sudut penerimaan kempen apabila menjadikan prestasi Menteri Besar sebagai modal utama untuk menarik sokongan pengundi.
“Naratif kempen dibina atas kesinambungan pentadbiran, kestabilan politik dan rekod prestasi Onn Hafiz yang disokong oleh pembangunan berskala besar seperti RTS, pembangunan Data Centre, Johor-Singapore Special Economic Zone serta pelbagai bentuk bantuan tunai kerajaan negeri,” jelasnya.
Sebaliknya jelas ILHAM Centre, Pakatan Harapan (PH) dilihat terlalu bergantung kepada pengaruh Perdana Menteri dan walaupun beliau turun ke banyak kawasan serta menjadi wajah utama kempen PH, pendekatan tersebut tidak berjaya diterjemahkan kepada pembentukan gelombang sokongan yang ketara.
“Berbanding ketika menjadi pembangkang yang banyak bergantung kepada isu nasional seperti GST dan 1MDB, PH kini berdepan kesukaran menjual naratif kejayaan Kerajaan Persekutuan dalam konteks PRN.
“Kajian lapangan mendapati sebahagian besar pengundi juga tidak dapat menyatakan dengan jelas apakah tema atau isu utama yang sedang dibawa oleh PH sepanjang kempen, selain menyeru supaya Kerajaan Persekutuan diberikan sokongan,” tambahnya.
Tambah ILHAM Centre, keadaan itu menyebabkan beberapa usaha PH untuk mengubah rentak kempen tidak memberikan impak yang signifikan.
“Cubaan menjadikan perdebatan antara Dr.Mazslee Malik dan Onn Hafiz sebagai tumpuan kempen tidak berjaya direalisasikan.
“Naratif integriti, akauntabiliti serta persoalan mengenai siapa yang benar-benar menikmati manfaat pembangunan Johor pula, gagal mengatasi perhatian pengundi terhadap isu ‘bread-and-butter’ (kehidupan rakyat),” terangnya.
Dalam masa yang sama, kata ILHAM Centre, perang mulut antara Menteri Besar dan Perdana Menteri lebih banyak berlegar di media sosial, khususnya Tik Tok dan Facebook yang digerakkan oleh penyokong parti, tanpa benar-benar membentuk sentimen dominan di peringkat akar umbi. – KOSMO! ONLINE















