KUALA LUMPUR – Seorang pemandu dan kelindan cedera selepas tersepit dalam kemalangan membabitkan dua lori tunda tiga tan serta sebuah Perodua Myvi di Terowong Jalan Loke Yew menghala ke pusat bandar di sini, awal pagi tadi.
Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada pukul 4.08 pagi sebelum menggerakkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Hang Tuah serta BBP Pudu ke lokasi kejadian.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati mangsa yang tersepit ialah pemandu dan kelindan lori tunda pertama berusia lingkungan 30-an. Kedua-duanya berjaya dikeluarkan pukul 4.39 pagi,” katanya di sini hari ini.
Menurutnya, seorang mangsa mengalami kecederaan bahagian kaki, manakala seorang lagi cedera di kepala serta patah kaki.
Katanya, kedua-dua mangsa yang berada dalam keadaan sedar diserahkan kepada pasukan ambulans untuk rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE














