PENGAMBILAN minuman berkafein seperti kopi dan matcha kini menjadi sebahagian daripada budaya serta pelengkap gaya hidup masyarakat.
Bagaimanapun, tabiat menikmati minuman itu sering dikaitkan dengan pelbagai masalah pencernaan, khususnya penyakit refluks gastroesofagus (GERD).
Oleh itu, ramai yang menganggap kafein sebagai musuh utama kepada sistem pencernaan, tanpa menyedari bahawa GERD sebenarnya bukan berpunca daripada pengambilan minuman tersebut semata-mata.
Sebaliknya, penyakit itu lebih banyak dipengaruhi oleh gabungan tabiat harian dan corak gaya hidup yang tidak sihat.
Pakar Bedah Gastrointestinal dan Bariatrik Hospital Pantai Kuala Lumpur, Dr. Reynu Rajan berkata, ramai individu masih tersalah anggap antara gejala GERD dengan gastrik (gastritis).
“Gastrik adalah keradangan pada lapisan perut, manakala GERD pula berlaku apabila asid perut mengalir semula ke dalam saluran esofagus akibat gangguan pada mekanisme injap antara perut dan esofagus.
“Cara paling mudah untuk membezakannya, gastrik merupakan masalah pada perut, manakala GERD berkaitan refluks asid ke dalam saluran esofagus.
“Sebab itu ramai yang mengalami simptom seperti pedih ulu hati, rasa masam di tekak, regurgitasi makanan atau cecair dan batuk kronik menyangka mereka hanya mengalami gastrik biasa,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Reynu tidak menafikan bahawa kandungan kafein dalam minuman boleh merangsang penghasilan asid perut serta menurunkan tekanan pada lower oesophageal sphincter (injap esofagus bawah).
Keadaan itu boleh memudahkan asid perut mengalir semula ke dalam saluran esofagus dan mencetuskan gejala refluks pada sesetengah individu.
Bagaimanapun, hakikat yang perlu difahami, sistem pencernaan tidak mengenal sama ada kopi itu mahal atau murah, premium atau biasa.
Sebaliknya, apa yang lebih mempengaruhi gejala adalah cara seseorang mengambil kopi serta keseluruhan gaya hidup.
Tambahnya, kafein bukanlah faktor utama yang menyebabkan GERD, sebaliknya lebih cenderung mencetuskan atau memburukkan gejala refluks dalam kalangan individu yang sudah mempunyai kecenderungan menghidap penyakit tersebut.
Amalan seperti mengambil kopi ketika perut kosong, memilih bancuhan yang terlalu pekat, meminumnya secara tergesa-gesa, selain faktor seperti merokok, obesiti, tekanan, kurang tidur serta makan dalam kuantiti yang banyak pada lewat malam boleh mencetuskan atau memburukkan gejala GERD.
Menyentuh mengenai trend pengambilan matcha yang sering dianggap lebih selamat berbanding kopi, Dr. Reynu menjelaskan, tanggapan tersebut tidak semestinya tepat.
Walaupun matcha mengandungi kandungan kafein lebih rendah serta mempunyai komponen L-theanine yang memberikan kesan menenangkan, namun ia tetap boleh mencetuskan gejala refluks bagi individu sensitif terhadap kafein.
“Sistem pencernaan setiap individu adalah berbeza. Ada pesakit yang boleh menikmati kopi tanpa sebarang masalah tetapi mengalami gejala selepas mengambil matcha, begitu juga sebaliknya. Apa yang penting, memahami toleransi badan sendiri,” ujarnya.
Oleh itu, Dr. Reynu menasihati pesakit GERD kronik supaya tidak memandang remeh gejala yang dialami.
“Pendedahan asid yang berterusan pada dinding esofagus boleh menyebabkan komplikasi jangka panjang serius.
“Antaranya termasuklah ulser, pendarahan, penyempitan saluran esofagus, kesukaran menelan sehinggalah kepada perubahan pada lapisan sel esofagus yang dikenali sebagai Barrett’s oesophagus.
“Walaupun kebanyakan pesakit dengan Barrett’s oesophagus tidak akan menghidap kanser, namun keadaan ini tetap memerlukan pemantauan berkala kerana ia meningkatkan risiko kanser esofagus,” tegasnya.
Beliau turut mengingatkan pesakit supaya mendapatkan pemeriksaan segera sekiranya mengalami gejala amaran seperti sukar menelan, muntah berdarah, najis berwarna hitam, penurunan berat badan tanpa sebab jelas atau anemia.
Hal ini kerana keadaan tersebut mungkin menandakan komplikasi yang memerlukan penilaian lanjut oleh pakar kesihatan.
Dr. Reynu turut menegaskan bahawa masalah refluks berterusan bukanlah sesuatu yang boleh dibiarkan begitu sahaja atau dianggap sebagai perkara biasa.
“Sekiranya gejala berlaku dengan kerap sehingga mengganggu aktiviti harian atau waktu tidur, pesakit perlu mendapatkan penilaian perubatan yang tepat.
“Jangan terus bergantung kepada ubat yang dibeli tanpa preskripsi (over-the-counter) tanpa mendapatkan nasihat atau pemantauan daripada doktor,” katanya.
Sehubungan itu, peminat kopi dan matcha tidak perlu menyekat pengambilan minuman kegemaran secara keterlaluan.
Sebaliknya, beberapa langkah mudah boleh diamalkan seperti memulakan hari dengan air kosong, mengambil sarapan ringan yang kaya dengan protein sebelum menikmati kopi.
“Pendekatan yang terlalu ekstrem selalunya sukar dikekalkan, akan tetapi kesederhanaan adalah lebih realistik dan mampan untuk diamalkan,” ujarnya.














