SACHSENRING, JERMAN – Maverick Vinales memberi bayangan bahawa kariernya di pentas MotoGP itu mungkin sudah berada di penghujung apabila mengakui dirinya kini sudah hilang semangat susulan pertikaian kontrak bersama KTM.
Pelumba Tech3 KTM dari Sepanyol itu mendedahkan dia tidak lagi berbincang dengan KTM mengenai musim 2027 selepas peluang menyertai pasukan kilang berakhir apabila pengeluar Austria itu mengesahkan Alex Marquez dan Fabio di Giannantonio sebagai pelumba utama musim depan.
Menurut Vinales, hubungan antara kedua-dua pihak menjadi semakin tegang sehingga dia kini tidak lagi melihat masa depan kariernya dalam MotoGP.
“Tidak, kami sudah tidak berbincang lagi. Saya rasa minggu lalu adalah perbincangan terakhir. Selepas itu tiada apa-apa lagi,” katanya.
Vinales turut mendakwa KTM pernah menghantar kontrak baharu kepadanya selepas Grand Prix Itali di Mugello, namun dua minggu kemudian memaklumkan bahawa kontrak tersebut tidak lagi sah.
“Saya tandatangan kontrak itu walaupun syaratnya tidak begitu memihak kepada saya. Tetapi, dua minggu kemudian mereka beritahu kontrak itu tidak sah.
“Selepas perkara seperti itu berlaku, apa lagi yang boleh saya harapkan? Saya tidak mahu terus berada dalam situasi begini kerana ia langsung tidak profesional. Itulah sebabnya saya benar-benar sudah penat dengan dunia ini,” katanya. – AGENSI















